PROGRAM RISDA
PROGRAM RISDA
  TANAM SEMULA
LATAR BELAKANG

1.1 Rancangan Tanam Semula diperkenalkan pada tahun 1952 bertujuan untuk membolehkan pekebun kecil yang mempunyai kebun getah tua dan tidak ekonomik menanam semula dengan klon-klon baru yang boleh memberikan hasil dan pulangan yang lebih baik. Melalui Rancangan ini juga, pekebun kecil boleh menanam semula dengan jenis tanaman lain seperti kelapa sawit, buah-buahan, spesies balak dan sebagainya.

1.2 Bagi membiayai dan melaksanakan Rancangan Tanam Semula ini, Kerajaan telah meluluskan Ordinan Kumpulan Wang Perusahaan Getah (Penanaman Semula) 1952 yang memperuntukkan perkara-perkara berikut:-

i. Mewujudkan prosedur pengenaan dan pengutipan ses tanam semula pada kadar 9.92079 sen sekilogram (4.5 sen sepaun) getah yang dieksport daripada negara ini.

ii. Mewujudkan sebuah badan berkanun yang dinamakan Lembaga Perusahaan Getah Tanam Semula (LPGTS) bagi mentadbir Kumpulan Wang Ses bagi maksud melaksanakan Rancangan Tanam Semula.

1.3 LPGTS telah mentadbir Kumpulan Wang Ses dan melaksanakan Rancangan Tanam Semula selama 20 tahun iaitu dalam tempoh 1952 - 1972. Berkuatkuasa mulai 1 Januari 1973, tugas-tugas LPGTS telah diambilalih oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang ditubuhkan melalui Akta RISDA Bilangan 85 Tahun 1972.

1.4 Ses tanam semula yang dikutip dimasukkan ke dalam sebuah tabung yang dinamakan Kumpulan Wang Ses dan ditadbirkan oleh LPGTS dan kemudiannya oleh RISDA. Sejak mula diperkenalkan pada tahun 1952, ses dikutip di peringkat eksport kerana pada masa tersebut hampir semua getah yang dihasilkan adalah dieksport. Oleh itu kuantum kutipan ses setiap tahun bergantung kepada kuantiti getah yang dieksport dan ini pula dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti pengeluaran getah dalam negara dan penggunaan getah secara domestik.

1.5 Bagi getah yang diproses dalam negara (kegunaan domestik) ke dalam bentuk barangan nilai ditambah (value-added rubber products), cukai ses dikenakan ke atas pengilang kerana getah ini tidak dieksport sedangkan cukai ses telah dikenakan kepada pekebun kecil.

1.6 Pekebun kecil dibantu melaksanakan penanaman semula melalui bantuan tanam semula yang diberikan oleh RISDA mengikut kadar-kadar tertentu yang diluluskan oleh Jemaah Menteri. Kadar bantuan yang bermula pada tahap RM 988 sehektar pada tahun 1952 telah dinaikkan sebanyak 7 kali selaras dengan peningkatan kos menanam semula.

1. SIAPA LAYAK TANAM SEMULA

1.1 Rancangan Tanam Semula disediakan untuk pekebun kecil yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh RISDA dari semasa ke semasa.

1.2 Mengikut Akta RISDA Bil.85/1972, pekebun kecil ditakrifkan sebagai pemilik yang memiliki tanah kurang daripada 100 ekar (40.4678 hektar).

2. SYARAT-SYARAT MENYERTAI TANAM SEMULA

2.1 Syarat-syarat bagi melayakkan kebun-kebun menyertai Rancangan Tanam Semula bagi kali pertama (Tanam Semula 1) adalah seperti berikut:-

i. Tanah-tanah hendaklah mengandungi getah tua yang bertoreh.

ii. Tanah-tanah hendaklah mempunyai tanda-tanda mengandungi getah tua seperti tunggul-tunggul getah tua.

iii. Tanah-tanah yang mempunyai buku lesen getah lama (Rubber Cultivation Book) yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah mengatakan tanah itu mengandungi getah tua bertoreh selepas tahun 1952.

2.2 Syarat-syarat di atas tidak mengambil kira umur pokok-pokok getah yang layak ditanam semula, sebaliknya berpandukan kepada keadaan pokok yang tidak ekonomik sahaja. Ini kerana benih-benih yang ditanam secara persendirian pada zaman selepas Perang Dunia Kedua dahulu terdiri daripada klon-klon tidak terpilih dan berhasil rendah.

2.3 Tanam Semula Kali Kedua (Tanam Semula 2) adalah bagi tanah-tanah yang telah ditanam semula kali pertama dengan tanaman getah dan telah mencapai tahap tidak ekonomik. Pokok-pokok getah yang ditanam semula kali pertama hendaklah telah berumur sekurang-kurangnya 15 atau 20 tahun tertakluk kepada keluasan pemilikan tanah dan kaedah tanam semula sama ada secara berkelompok (komersil) atau perseorangan.

2.4 Tanam Semula Kali Ketiga (Tanam Semula 3) adalah bagi tanah-tanah yang telah ditanam semula kali kedua dengan tanaman getah dan telah mencapai tahap tidak ekonomik. Pokok-pokok getah yang ditanam semula kali kedua hendaklah telah berumur sekurang-kurangnya 15 atau 20 atau 25 tahun tertakluk kepada keluasan pemilikan tanah dan kaedah tanam semula sama ada secara berkelompok (komersil) atau perseorangan.

3. JENIS TANAMAN YANG DIBENARKAN UNTUK DITANAM SEMULA

3.1 Tanah-tanah yang memenuhi syarat-syarat kelayakan tanam semula boleh ditanam semula dengan mana-mana satu jenis tanaman yang dibenarkan dalam satu-satu masa sebagai tanaman utama. Jenis-jenis tanaman

*yang dibenarkan setakat ini terdiri daripada:

Getah, kelapa sawit, koko, kelapa, kopi, buah-buahan bukan jenis limau, buah-buahan jenis limau, lada hitam, nenas, orkid, medang teja dan spesis balak.

* mulai 1-1-2003 tanaman yang di benarkan adalah dari getah ke getah integrasi sahaja.

3.2 Jenis tanaman yang hendak ditanam semula hendaklah menepati syarat kegunaan tanah atas geran tanah. Jika tidak menepati syarat pada geran tanah, pemilik tanah hendaklah memohon ubah syarat kegunaan tanah kepada Pentadbir Tanah Daerah.

4. PENDEKATAN ATAU KAEDAH TANAM SEMULA

4.1 Tanam Semula boleh dilaksanakan secara perseorangan atau berkelompok (komersil).

4.2 RISDA mengutamakan tanam semula berkelompok yang diuruskan secara komersil bagi memperolehi faedah ekonomi bidangan. Tanam semula berkelompok (atau pengestetan kebun-kebun kecil) adalah selaras dengan dasar Kerajaan supaya kebun-kebun kecil diuruskan secara estet bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja, peningkatan kos pembangunan dan pengurusan, dan masalah pemasaran hasil.

4.3 Sebelum tahun 1999, tanam semula secara berkelompok atau berkumpulan dikenali dengan berbagai nama seperti Mini Estet, Tanam Semula Berkelompok (TSB) dan Tanam Semula Serentak (TSS). Walau bagaimanapun, mulai tahun 1999 Tanam Semula Berkelompok atau berkumpulan dikenali sebagai Tanam Semula Komersil (TSK) sahaja.

4.4 Beberapa buah TSK yang disatukan dikenali sebagai EKAR atau Estet Kelompok Ala RISDA

BAYARAN BANTUAN

1.1 Kerajaan telah bersetuju menaikkan kadar bantuan Tanam Semula Getah ke Getah Integrasi (TSGGI) kepada RM7,000.00 sehektar. Keputusan kerajaan ini telah diumumnkan oleh Y.B Menteri Pembangunan Luar Bandar yang disiarkan oleh akhbar-akhbar utama pada 1 Januari 2003

1.2 Lanjutan kepada keputusan kerajaan tersebut ,Pihak Berkuasa RISDA dalam mesyuarat kali ke-171 pada 17 Januari 2003 telah meluluskan kadar bantuan ansuran pertama hingga ke enam. Pecahan kadar ini seperti berikut:- KADAR BANTUAN TANAM SEMULA GETAH KE GETAH INTEGRASI (TSGGI) Ansuran KADAR SEHEKTAR (RM) 1 2,300.00 2 1,200.00 3 900.00 4 900.00 5 900.00 6 800.00 JUMLAH 7,000.00

1.3 Kenaikan kadar bantuan Tanam Semula Getah Ke Getah Integrasi ini adalah terbuka kepada semua pekebun kecil dan tidak tertakluk kepada sama ada mereka memiliki tanah yang mengandungi pokok getah sepuluh (10) ekar(4.0468 hektar) dan ke bawah atau melebihi luas kawasan tersebut.

1.4 Kadar baru ini layak dibayar kepada pekebun kecil yang menerima bayaran bantuan mulai tahun 2003 sahaja.

1.5 Pekebun kecil yang telah menerima bayaran sama ada sepenuhnya, sebahagiannya secara tunai, mata benda atau pendahuluan pada atau sebelum 31 Disember 2002 tidak layak kepada kadar baru ini. Kadar bantuan kepada mereka adalah kekal pada kadar lama sepenuhnya.

1.6 Untuk keterangan lanjunt sila hubungi Pejabat RISDA yang berhampiran. .

BEKALAN MATA BENDA (INPUT PERTANIAN)

1.2 Benih getah dan kelapa sawit yang dibekalkan oleh RISDA. Bagi jenis tanaman lain, pemohon dibenar menggunakan benih yang diperolehi sendiri daripada mana-mana sumber. Mereka dinasihatkan supaya memilih benih yang bermutu tinggi.

1.2 Semua jenis baja bagi semua jenis tanaman yang diluluskan, dibekalkan oleh RISDA.

1.3 Harga benih dan baja yang dibekalkan oleh RISDA ditolak daripada bantuan tanam semula

1. CARA MEMBUAT PERMOHONAN TANAM SEMULA

1.1 Setiap permohonan tanam semula hendaklah dibuat dengan menggunakan Borang TS11 (Pin.1/96). Setiap pemohon hendaklah memberi perhatian kepada NOTIS MUSTAHAK pada muka hadapan borang permohonan sebelum mengisi borang.

1.2 Borang permohonan boleh diperolehi daripada semua Pejabat RISDA Daerah/Jajahan bagi negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah dan daripada Pejabat RISDA Negeri Perlis, Selangor dan Melaka.

1.3 Borang permohonan yang telah diisi dan disempurnakan hendaklah dihantar/diserah ke pejabat RISDA yang berkenaan di mana terletaknya lot tanah yang hendak ditanam semula.

1.4 Sebaik sahaja borang permohonan TS11(Pin.1/96) diterima, pejabat RISDA yang berkenaan akan menghantar Akuan Terima Permohonan (T.S.14) kepada pemohon.

1.5 Pemohon hendaklah mengambil perhatian Nombor Permohonan Sementara yang tertulis di atas kad T.S.14. Nombor ini hendaklah sentiasa disebut apabila berurusan dengan RISDA.

1.6 Pemohon mestilah mengambil perhatian ayat di atas kad T.S.14 yang berbunyi 'Sementara itu janganlah ditebang atau dimusnahkan sebarang pokok getah tuan/puan itu'. Jika peringatan ini dilanggar atau diabaikan, RISDA tidak akan bertanggungjawab jika permohonan tersebut ditolak.

2. KELULUSAN ATAU PENOLAKAN PERMOHONAN

2.1 Selepas permohonan diterima dan T.S.14 dikeluarkan, tanah yang dipohonkan tanam semula akan dilawati dan diperiksa oleh pegawai RISDA. Pemeriksaan ini bertujuan, di antaranya, untuk memastikan lot sebenar dipohonkan dan sama ada terdapat pokok-pokok getah tua di atas tanah tersebut.

2.2 Pejabat RISDA Negeri atau Daerah/Jajahan akan membuat keputusan sama ada melulus atau menolak sesuatu permohonan mengikut peraturan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh RISDA.

2.3 Jika lulus, pemohon akan menerima 'Kelulusan Sementara' TS.27 (Komp.) dan 'Pemberitahu Tanah Siap Diusahakan' (TS28).

2.4 TS27 (Komp) dan Lampirannya menerangkan kepada pemohon apakah kerja yang perlu dilakukan untuk menyediakan tanah bagi melayakkannya untuk menerima bantuan tanam semula.

2.5 TS28 perlu digunakan oleh pemohon untuk memberitahu pejabat RISDA yang berkenaan bahawa tanah telah siap disediakan.

2.6 Sebaliknya bagi permohonan yang ditolak, pemohon akan menerima kad TS16 'Pemberitahu Penolakan Pemohonan'.

2.7 Sayugia diambil perhatian oleh setiap pemohon bahawa sekiranya mereka memusnahkan pokok getah mereka sebelum mereka menerima TS27/TS28, mereka melakukannya atas risiko sendiri. RISDA tidak bertanggungjawab sekiranya permohonan mereka tidak diluluskan atau bantuan tanam semula tidak dibayar sepenuhnya


>> ke atas

Hak Cipta Terpelihara. Risda Perak 2006 ©