1.    SIAPA LAYAK TANAM SEMULA

    1.1  Rancangan Tanam Semula disediakan untuk pekebun kecil yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh RISDA dari semasa ke semasa.

    1.2  Mengikut Akta RISDA Bil.85/1972, pekebun kecil ditakrifkan sebagai pemilik yang memiliki tanah kurang daripada 100 ekar (40.4678 hektar).

   2.    SYARAT-SYARAT MENYERTAI TANAM SEMULA

    2.1  Syarat-syarat bagi melayakkan kebun-kebun menyertai Rancangan Tanam Semula bagi kali pertama (Tanam Semula 1) adalah seperti berikut:-

      i. Tanah-tanah hendaklah mengandungi getah tua yang bertoreh.

      ii. Tanah-tanah hendaklah mempunyai tanda-tanda mengandungi getah tua seperti tunggul-tunggul    getah tua.

      iii. Tanah-tanah yang mempunyai buku lesen getah lama (Rubber Cultivation Book) yang dikeluarkan oleh     Pejabat Tanah mengatakan tanah itu mengandungi getah tua bertoreh selepas tahun 1952.

    2.2  Syarat-syarat di atas tidak mengambil kira umur pokok-pokok getah yang layak ditanam semula, sebaliknya berpandukan kepada keadaan pokok yang tidak ekonomik sahaja.  Ini kerana benih-benih yang ditanam secara persendirian pada zaman selepas Perang Dunia Kedua dahulu terdiri daripada klon-klon tidak terpilih dan berhasil rendah.

    2.3  Tanam Semula Kali Kedua (Tanam Semula 2) adalah bagi tanah-tanah yang telah ditanam semula kali pertama dengan tanaman getah dan telah mencapai tahap tidak ekonomik.  Pokok-pokok getah yang ditanam semula kali pertama hendaklah telah berumur sekurang-kurangnya 15 atau 20 tahun tertakluk kepada keluasan pemilikan tanah dan kaedah tanam semula sama ada secara berkelompok (komersil) atau perseorangan.

    2.4  Tanam Semula Kali Ketiga (Tanam Semula 3) adalah bagi tanah-tanah yang telah ditanam semula kali kedua dengan tanaman getah dan telah mencapai tahap tidak ekonomik.  Pokok-pokok getah yang ditanam semula kali kedua hendaklah telah berumur sekurang-kurangnya 15 atau 20 atau 25 tahun tertakluk kepada keluasan pemilikan tanah dan kaedah tanam semula sama ada  secara berkelompok (komersil) atau perseorangan.

   3.    JENIS TANAMAN YANG DIBENARKAN UNTUK DITANAM SEMULA

    3.1  Tanah-tanah yang memenuhi syarat-syarat kelayakan tanam semula boleh ditanam semula dengan mana-mana satu jenis tanaman yang dibenarkan dalam satu-satu masa sebagai tanaman utama.  Jenis-jenis tanaman *yang dibenarkan setakat ini terdiri daripada:

    Getah, kelapa sawit, koko, kelapa, kopi, buah-buahan bukan jenis limau, buah-buahan jenis limau, lada hitam, nenas, orkid, medang teja dan spesis balak.
    * mulai 1-1-2003 tanaman yang di benarkan adalah dari getah ke getah integrasi sahaja.


    3.2 Jenis tanaman yang hendak ditanam semula hendaklah menepati syarat kegunaan tanah atas geran tanah.  Jika tidak menepati syarat pada geran tanah, pemilik tanah hendaklah memohon ubah syarat kegunaan tanah kepada Pentadbir Tanah Daerah.

   4.    PENDEKATAN ATAU KAEDAH TANAM SEMULA

    4.1  Tanam Semula boleh dilaksanakan secara perseorangan atau berkelompok (komersil).

    4.2  RISDA mengutamakan tanam semula berkelompok yang diuruskan secara komersil bagi memperolehi faedah ekonomi bidangan.  Tanam semula berkelompok (atau pengestetan kebun-kebun kecil) adalah selaras dengan dasar Kerajaan supaya kebun-kebun kecil diuruskan secara estet bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja, peningkatan kos pembangunan dan pengurusan, dan masalah pemasaran hasil.

    4.3  Sebelum tahun 1999, tanam semula secara berkelompok atau berkumpulan dikenali dengan berbagai nama seperti Mini Estet, Tanam Semula Berkelompok (TSB) dan Tanam Semula Serentak (TSS).  Walau bagaimanapun, mulai tahun 1999 Tanam Semula Berkelompok atau berkumpulan dikenali sebagai Tanam Semula Komersil (TSK) sahaja.

    4.4  Beberapa buah TSK yang disatukan dikenali sebagai EKAR atau Estet Kelompok Ala RISDA

| Menu Utama | Ibu Pejabat Risda | RISDA Johor | Tanam Semula | Pembangunan |
| Model Bisnes | Kolej Risda |
Dibangunkan oleh:Unit Pengembangan Pejabat Pengarah RISDA Negeri Johor