|
AMANAT PENGURUSAN RISDA 2005
DISAMPAIKAN OLEH
Y. BHG. DATO’ HJ. ABD. RAHMAN BIN HJ. ALI
KETUA PENGARAH RISDA
Di Auditorium Sultan Ahmad Shah
Ibu Pejabat RISDA
Tarikh : 6 Januari 2005
TEMA : MEMPERKASAKAN MASYARAKAT PEKEBUN KECIL
MUKADIMAH
1. Alhamdulillah saya memanjat rasa syukur ke hadrat Allah
SWT kerana dengan limpah kurnia dan izinNya jua kita dapat sekali
lagi berkumpul di Auditorium ini bagi membicarakan Amanat Pengurusan
RISDA 2005. Tahun 2005 adalah tahun terakhir pelaksanaan Rancangan
Malaysia Ke-8 dan RISDA akan meneruskan pelaksanaan program
pembangunan yang telah dirancang, dan dalam masa yang sama
menyediakan perancangan bagi Rancangan Malaysia Ke-9 yang meliputi
tempoh 2006 - 2010. Amanat ini hendaklah dijadikan asas dan panduan
bagi melaksanakan gerak kerja pembangunan pekebun kecil dalam tahun
2005.
2. Sebelum saya membentangkan perkara-perkara yang akan
dilaksanakan pada tahun 2005, saya ingin mengimbas kembali
dasar-dasar dan keputusan Kerajaan di dalam tahun 2004 yang
mempunyai implikasi besar ke atas kewujudan RISDA dan peranannya di
dalam “perubahan yang menyeluruh” di era kepemimpinan Y.A.B. Dato’
Seri Abdullah bin Hj. Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia.
DASAR-DASAR KERAJAAN YANG MEMBAWA KEPADA PERUBAHAN YANG MENYELURUH
3. Dalam melaksanakan perubahan yang dimaksudkan, beberapa
pendekatan telah diambil oleh Kerajaan, baik yang bersifat pemikiran
mahu pun pergerakan. Sebagaimana yang kita maklum, “pendekatan”
sentiasa memainkan peranan penting dalam mencorakkan sesuatu arah
tuju di dalam melaksanakan “perubahan”. Dalam hal ini, konsep
Islam Hadhari telah menjadi teras kepada pendekatan Kerajaan dalam
mencapai tahap kemajuan, baik dari segi pemikiran, keilmuan,
kemasyarakatan, pembangunan dan seterusnya.
4. Dalam konteks menjamin kesinambungan kejayaan khususnya
di luar bandar, maka Kerajaan meneruskan Falsafah dan Strategi Baru
Pembangunan Luar Bandar atau Transformasi Kedua Pembangunan Luar
Bandar yang berteraskan pembangunan manusia ke arah kecemerlangan
melalui konsep Gerakan Daya Wawasan. Dari dimensi ini, falsafah
pembangunan luar bandar akan memberi fokus kepada pembangunan
manusia dan instrumen pembangunan manusia adalah pendidikan seumur
hidup.
5. Sebagai persediaan ke arah ini, Kerajaan telah merangka
Bajet Tahun 2005 yang akan menjadi asas untuk penyediaan Rancangan
Malaysia Ke-9. Agenda pembangunan negara diteruskan dengan dasar
meningkatkan keberkesanan pengurusan kewangan Kerajaan, kecekapan
sistem penyampaian dan daya saing; mempercepatkan peralihan ke arah
ekonomi berasaskan nilai tambah yang tinggi; membangunkan sumber
manusia sebagai pemangkin pertumbuhan; dan memastikan kesejahteraan
rakyat melalui peningkatan kualiti hidup.
6. RISDA tidak terkecuali di dalam dasar ini, terutama
sekali di dalam transformasi sektor pertanian ke arah lebih
dinamik. Malaysia telah terbukti sebagai pengeluar utama dunia yang
efisien bagi komoditi pertanian seperti getah dan sawit. Namun,
negara masih belum menerokai sepenuhnya potensi pengeluaran produk
makanan. Bajet 2005 akan memberi tumpuan untuk mencorak semula
sektor pertanian sebagai jentera ketiga pertumbuhan selepas sektor
pembuatan dan perkhidmatan. Dasar ini bertujuan menambah pendapatan
di samping mengurangkan pergantungan kepada import, terutamanya
barangan makanan. Di samping itu, Kerajaan menggalakkan aktiviti
pertanian secara komersial.
7. Semua strategi Kerajaan yang terkandung di dalam Bajet
2005, secara langsung atau tidak langsung adalah untuk meningkatkan
kesejahteraan rakyat dan kualiti kehidupan, sebagai asas Wawasan
Kerajaan. Kerajaan akan mengambil langkah-langkah khusus, antara
lain seperti menghapus kemiskinan tegar dan mempercepatkan
pembangunan luar bandar. Ini akan dilaksanakan selari dengan
pembangunan sumber manusia sebagai pemangkin pertumbuhan, yakni,
membangun masyarakat berpengetahuan.
8. Selain daripada itu, sumbangan industri getah kepada
ekonomi negara adalah besar dari segi nilai eksport iaitu RM15.3
bilion, terdiri daripada getah mentah, barangan produk berasas getah
dan kayu getah. Industri getah negara bergantung kepada sektor
pekebun kecil di mana 909,280 mt. atau 92.2 peratus daripada 985,640
mt. pengeluaran getah asli negara dihasilkan oleh pekebun kecil.
Dengan peningkatan harga getah, pendapatan pekebun kecil telah
meningkat. Sepanjang tahun 2004, purata harga bulanan SMR 20 berada
dalam lingkungan RM4.20 - RM4.80 sekilogram berbanding purata harga
RM2.86 sekilogram pada tahun 2002. Antara faktor yang mempengaruhi
harga getah adalah disebabkan peningkatan permintaan getah daripada
negara Cina dan kerana kenaikan harga minyak.
9. Syukur Alhamdulillah, apa yang disarankan oleh pihak
Kerajaan adalah selari dengan pendekatan yang RISDA amalkan semula
iaitu pendekatan “Man Behind The Tree – Revisited’ dan Model
Pembangunan Strategik RISDA (MBSR).
IMBASAN PERISTIWA 2004
10. Sebelum saya membentangkan perkara-perkara yang akan
dilaksanakan pada tahun 2005, saya ingin menyorot kembali beberapa
peristiwa penting yang berlaku sepanjang tahun 2004 :-
Perubahan Pengurusan KKLW
11. Sempena dengan pengumuman kabinet baru oleh Y.A.B. Perdana
Menteri, nama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah
ditukar kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah (KKLW)
dan Y.B. Dato’ Sri Abdul Aziz bin Shamsuddin dilantik sebagai
Menteri KKLW pada 30 Mac 2004. Y.B. Dato’ Dr. Awang Adek bin
Hussin dilantik sebagai Timbalan Menteri I dan Y.B. Dato’ Dr. Tiki
Lafe sebagai Timbalan Menteri II pada 27 Mac 2004. KKLW juga
mendapat Ketua Setiausaha baru apabila Y. Bhg. Dato’ Dr. Mohd. Tap
bin Salleh dilantik sebagai Ketua Setiausaha pada 1 Julai 2004.
Perubahan Pengurusan RISDA
12. Y.B. Dato’ Hj. Abdul Raman bin Suliman, Pengerusi RISDA
telah dilantik sebagai Senator pada 26 Ogos 2004. Y.Bhg. Dato’ Hj.
Abd. Rahman bin. Hj. Ali, telah dilantik sebagai Ketua Pengarah
RISDA berkuatkuasa 6 Ogos 2004. Tuan Haji Mahdun bin Majid dilantik
sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pentadbiran dan Korporat) pada 28
Mei 2004 dan Tuan Haji Zulkifli Mohd Nazim dilantik sebagai Timbalan
Ketua Pengarah (Operasi) pada 1 September 2004.
Kajian Semula MBSR
13. Bahagian Perancangan Strategik (BPS) telah menganjurkan
Bengkel Kajian Pelaksanaan Perancangan Strategik Pembangunan Pekebun
Kecil 2001 - 2010. Tujuan bengkel ini diadakan ialah untuk melihat
semula keberkesanan pendekatan MBSR sebagai wahana pembangunan
pekebun kecil dalam usaha mencapai misi dan objektif RISDA. Dalam
masa yang sama, usaha-usaha penambahbaikan telah dibincang untuk
mengurangkan jurang, jika ada, dalam melaksanakan MBSR seperti mana
yang dirancang.
Keputusan Mesyuarat JKMPPK
14. Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Cara-Cara Bagi
Meningkatkan Pendapatan Pekebun Kecil Komoditi Industri (JKMPPK)
Bil. 1/2004 pada 1 Julai 2004 telah membincangkan mengenai “Dasar
Pembiayaan, Kutipan dan Pulangan Ses Tanam Semula Getah” dan
“Pindaan Akta RISDA Dalam Konteks Perubahan Skop, Peranan Dan
Tanggungjawab RISDA”. Mesyuarat telah bersetuju pada dasarnya dengan
cadangan “Pindaan Akta RISDA” yang akan diberi penelitian semula
apa-apa perkara yang perlu diselaraskan. Mesyuarat memutuskan
kertas “Dasar Pembiayaan, Kutipan dan Pulangan Ses Tanam Semula
Getah” diolah semula supaya ia lebih menepati kepada keperluan
negara dan kumpulan sasar.
Prestasi Program/Projek Pembangunan Dan Wang Amanah RMKe-8 (Trend
Analysis)
15. Jumlah peruntukan program pembangunan bagi tahun 2004
ialah RM233.63 juta merangkumi sumber Bantuan Langsung Kerajaan dan
sumber Wang Ses. Sejumlah RM151.51 juta (64.9 peratus) telah
dibelanjakan setakat November 2004. Jika dibandingkan dengan tahun
2003, jumlah peruntukan ialah sebanyak RM216.41 juta dan daripada
jumlah tersebut, sejumlah RM142.21 juta telah dibelanjakan hingga
akhir tahun. RISDA juga telah menerima peruntukan Wang Amanah KKLW
sebanyak RM230.77 juta dalam tempoh 1999 - 2004. Sebanyak RM193.40
juta daripada peruntukan tersebut telah dibelanjakan untuk
melaksanakan program pembangunan sehingga tahun 2004.
Prestasi Syarikat Milikan/Anak Syarikat
16. Sepanjang tahun 2004, Anak Syarikat menunjukkan
peningkatan dari segi prestasinya. Secara keseluruhan, keuntungan
sebelum cukai Kumpulan Syarikat RISDA meningkat kepada RM23.25 juta
berbanding RM20.72 juta pada tahun sebelumnya. Penyumbang utama
peningkatan Keuntungan Sebelum Cukai Kumpulan Syarikat RISDA adalah
RSPSB iaitu sebanyak RM10.6 juta dan PRB sebanyak RM4.34 juta
Penganugerahan Sijil Ketua Audit Negara
17. Pada 8 September 2004, RISDA telah dianugerahkan Sijil
Bersih Tanpa Teguran daripada Ketua Audit Negara bagi Penyata
Kewangan Tahun Berakhir 31 Disember 2003. Ini bermakna RISDA telah
berjaya mendapat sijil bersih dalam bidang pengurusan kewangan
selama 8 tahun berturut-turut.
Cadangan Penyusunan Semula Struktur Organisasi
18. Penambahbaikan cadangan Penstrukturan Semula RISDA sedang
disediakan untuk dikemukakan kepada KKLW dan JPA. Antara lain ialah
cadangan mewujudkan 3 Bahagian baru; peningkatan taraf Unit
Pembangunan Korporat kepada Bahagian Pembangunan Korporat; pewujudan
semula beberapa Pejabat RISDA Daerah/Jajahan di Negeri; dan
permohonan beberapa jawatan baru dan gred kenaikan pangkat bagi
pelbagai gred jawatan.
Perasmian Pusat Latihan RISDA (RISTEC)
19. Majlis Perasmian Pusat Latihan RISDA telah disempurnakan
oleh Y.B. Menteri KKLW, Dato’ Sri Abdul Aziz bin Shamsuddin pada 21
September 2004 di RISTEC, Port Dickson. Majlis tersebut turut
dihadiri oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Y.A.B. Dato’ Seri Utama
Hj. Mohamad Hj. Hassan, Pengerusi RISDA Y.B. Senator Dato’ Hj. Abdul
Raman Suliman, Ketua Pengarah Y.Bhg. Dato’ Hj. Abd. Rahman Hj. Ali,
Pegawai-Pegawai Kerajaan, Pegawai-Pegawai Kanan RISDA dan lebih 600
orang pekebun kecil.
Majlis Konvokesyen Kolej RISDA Kali Ke-3
20. Kolej RISDA telah mengadakan Majlis Konvokesyen Kali Ke-3
pada 7 Disember 2004 bertempat di Auditorium Sultan Ahmad Shah, Ibu
Pejabat. Dalam majlis tersebut seramai 756 orang graduan telah
dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Diploma dalam
pelbagai bidang kursus.
Penyediaan RMKe-9 (Penubuhan Kumpulan Kerja Teknikal)
21. Cadangan RMKe-9 (2006 - 2010) RISDA telah disediakan dan
dihantar ke KKLW pada 17 Disember 2004. Disamping itu, RISDA juga
terlibat dengan Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) RMKe-9 yang ditubuhkan
oleh Kerajaan untuk menyediakan/meneliti kertas isu dan cadangan
RMKe-9 dan menyediakan kertas laporan kemajuan program/projek utama
RMKe-8 (2001-2005) yang dilaksanakan oleh Kementerian, Jabatan dan
Agensi Badan Berkanun serta cadangan program/projek teras bagi
RMKe-9 (2006 - 2010).
Hubungan RISDA - PKPKM
22. Tahun 2004 juga melihat satu jalinan perhubungan yang
harmonis di antara RISDA dan PKPKM, di mana telah dipersetujui
diadakan sesi mesyuarat Interaktif RISDA-PKPKM di peringkat pusat,
negeri dan daerah bagi mewujudkan persefahaman dan kerjasama yang
baik di antara kedua pihak. Ini juga merupakan titik permulaan
perubahan pendekatan pembangunan pekebun kecil dari bawah ke atas,
di mana pandangan kumpulan sasar diberi prioriti di dalam menggubal
program/projek pembangunan pekebun kecil.
FOKUS
2005
A. TERAS PEMBANGUNAN PEKEBUN KECIL
23. Bagi tahun 2005, teras pembangunan pekebun kecil akan
tertumpu kepada pendekatan ‘participatory’ dan keseimbangan
pendekatan bawah ke atas dan atas ke bawah, yang melibatkan kumpulan
sasar dalam perancangan dan keputusan. Dalam hal ini, hasrat
kumpulan sasar iaitu pekebun kecil dan hasrat kerajaan adalah sama
dan akan tercapai.
24. Selaras dengan matlamat Kerajaan untuk membina keupayaan
membangun masyarakat berpengetahuan, pendidikan berterusan dan
pendidikan sepanjang hayat sama ada formal atau non-formal, akan
dijadikan teras kepada perancangan program/projek pembangunan
pekebun kecil, terutama program/projek peningkatan ekonomi dan juga
kesejahteraan masyarakat.
25. Dalam usaha RISDA membentuk masyarakat pekebun kecil yang
progresif dan sejahtera, konsep pengupayaan (empowerment) akan
dijadikan teras. Antara lain, pendekatan ini akan memartabatkan
kumpulan sasar daripada golongan yang sentiasa mengharapkan bantuan
Kerajaan, kepada golongan yang mempunyai kuasa (control) melalui
penglibatan aktif, akses kepada kemudahan dan pendidikan. Akhirnya
proses pengupayaan ini akan membentuk semangat berdikari dan
mengikis mentaliti subsidi; menarik penglibatan aktif pekebun kecil;
memberi harapan di atas keupayaan membentuk generasi kedua yang
cemerlang; dan mempertingkatkan kemahiran di kalangan pekebun
kecil. RISDA akan lebih berfungsi sebagai pendorong dan
“motivator”. Seperti mana yang telah saya nyatakan sebelum ini,
RISDA akan melaksanakan semula pendekatan Man Behind The Tree
(Revisited).
B. PEMBANGUNAN STAF DAN ORGANISASI
26. Pengurusan RISDA akan terus memberi fokus kepada
pembangunan staf serta organisasi RISDA supaya produktiviti dan
kecekapan kerja dapat dipertingkatkan ke tahap maksimum. Pengurusan
RISDA percaya tanpa pembangunan manusia yang terancang, cekap dan
berkesan, maka peruntukan bajet yang disediakan dan perancangan
program/projek yang telah diatur tidak dapat dilaksanakan dengan
efektif. Oleh yang demikian, program-program meningkat pengetahuan,
kemahiran, keupayaan berfikir, kepuasan bekerja serta suasana kerja
yang selesa dan harmonis akan diadakan untuk menepati keperluan
pembangunan sumber manusia.
Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia
27. RISDA telah diluluskan peruntukan sebanyak 4,970 jawatan
di mana setakat 31 Oktober 2004, hanya 3,989 jawatan telah diisi.
Dengan terlaksananya Skim SSM, gred-gred lapisan baru telah
diwujudkan. Pengurusan RISDA telah mengemukakan permohonan gred
lapisan baru kepada JPA dan jawatan yang diluluskan sebanyak 88
daripada 313 jawatan yang dipohon daripada pelbagai gred.
Peruntukan ini diberi secara “trade off” kepada gred jawatan yang
sedia ada dan berkuat kuasa pada 1 Januari 2004. Jawatan-jawatan
ini akan diisi apabila calon-calon yang berjaya melepasi PTK
dan syarat-syarat lain yang ditetapkan dalam Skim SSM. Pada
penghujung tahun 2004, RISDA telah mengiklankan beberapa
kekosongan jawatan iaitu :-
i. Penolong Pegawai Tadbir, Gred
N27 - 6 kekosongan
ii. Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi), Gred N17 -
75 kekosongan
iii. Pembantu Tadbir (Kesetiausahaan), Gred N17
- 10 kekosongan
iv. Pembantu Pertanian, Gred G17
- 105 kekosongan
28. Sehubungan dengan itu, tawaran opsyen telah dikeluarkan
kepada 640 orang staf RISDA yang dipinjamkan/ditempatkan ke Anak
Syarikat untuk memilih bersara pilihan dan terus berkhidmat dengan
Anak Syarikat atau balik kepada Perkhidmatan RISDA. Dengan
terlaksananya urusan opsyen ini, pihak Pengurusan boleh membuat
pengambilan baru bagi jawatan yang dikosongkan. Disamping itu,
seramai 85 orang staf RISDA akan bersara wajib dalam tahun 2005 dan
semua kekosongan ini akan diisi segera bagi memantapkan RISDA
secara keseluruhannya.
29. Penambahbaikan cadangan Penstrukturan Semula RISDA sedang
diusahakan untuk dikemukakan ke KKLW dan JPA. Di antara cadangannya
termasuklah :-
i. Mencadangkan tiga (3) Bahagian baru iaitu Bahagian
Perundangan & Urusetia Pihak Berkuasa, Bahagian Bekalan & Khidmat
Kejuruteraan dan Bahagian Teknologi Maklumat.
ii. Mencadangkan peningkatan taraf Unit Pembangunan Korporat
kepada Bahagian Pembangunan Korporat.
iii. Mencadangkan pewujudan semula beberapa Pejabat RISDA
Daerah di negeri yang sesuai bagi meningkatkan kecekapan sistem
penyampaian.
iv. Memohon kepada Kerajaan beberapa jawatan baru dan gred
kenaikan pangkat bagi pelbagai jawatan dengan mengambil kira tugas
dan tanggungjawab tambahan yang dipikul oleh organisasi RISDA masa
kini selaras dengan pelaksanaan SSM.
30. Selain dari itu, pematuhan kepada prosedur dan peraturan
akan dikuatkuasakan. Kes-kes disiplin akan diputuskan secepat
mungkin, iaitu selaras dengan matlamat RISDA yang bukan sahaja
memberi ganjaran dan insentif kepada anggotanya tetapi juga akan
memastikan organisasi ini sentiasa bersih daripada unsur-unsur yang
tidak diingini yang boleh menjejaskan imej organisasi.
31. Bagi memastikan organisasi RISDA dapat memberi
perkhidmatan yang berkesan, program latihan untuk pegawai/staf akan
disusun semula selaras dengan perubahan masa. Program latihan
khusus untuk pegawai-pegawai pelapis akan diperkenalkan dan akan
dijalankan dalam tahun 2005.
32. Bagi membantu pegawai/staf menghadapi peperiksaan PTK,
program latihan khas akan dilaksanakan di peringkat PT.
Pegawai-pegawai yang sesuai dan pakar dalam bidang masing-masing
akan diminta membantu melaksanakan latihan-latihan tersebut.
33. Bagi meningkatkan kecekapan, beberapa program kualiti
yang telah dijalankan akan dikemaskinikan pelaksanaannya. Semua
pegawai/staf akan dilibatkan secara langsung dalam program ini,
antaranya ialah MS ISO dan Hari Kualiti.
34. RISDA juga akan menumpukan kepada kebajikan
pegawai/stafnya. Di antaranya ialah mewujudkan peluang-peluang
untuk melanjutkan pelajaran di dalam bidang-bidang yang diperlukan
oleh RISDA dan penempatan/pertukaran pegawai/staf akan dibuat di
mana yang boleh memberi keselesaan kepada mereka dan mengurangkan
masalah kepada yang terlibat. Bagi merapatkan hubungan antara
pihak Pengurusan RISDA dan pegawai/staf, majlis dialog, mesyuarat
dan majlis bersama jabatan akan diadakan dengan lebih kerap dan
ini diharapkan akan dapat menyelesaikan banyak masalah supaya
tumpuan kepada kerja dapat dipertingkatkan. RISDA juga akan memberi
tumpuan kepada aktiviti-aktiviti yang sesuai seperti aktiviti sukan
dan kelab. Segala kemudahan/bantuan yang sepatutnya akan diberi
dan semua pegawai/staf digalakkan untuk turut serta secara aktif.
C. BAJET PEMBANGUNAN 2005
35. Kerajaan telah meluluskan peningkatan siling peruntukan
kepada RISDA di bawah Kajian Separuh Penggal RMKe-8 dari RM507.24
juta kepada RM886.21 juta, termasuk siling bagi tahun 2005 sebanyak
RM160.72 juta. Sungguh pun begitu, dalam bajet 2005, RISDA hanya
diberi peruntukan pembangunan sebanyak RM129.00 juta mengikut
pecahan seperti berikut :-.
Program
Peruntukan(RM)
i. Tanam Semula
Berturut
5,000,000
ii. Tanam Semula Getah Ke Getah Integrasi (TSGGI)
106,000,000
iii. Tanam Semula Getah Ke Tanaman Lain (TSGL)
7,000,000
iv. Tanam Semula Getah Ke Tanaman Lain < 2.5
Hektar 9,400,000
v. Khidmat Pengembangan/Pemb. Manusia & Institusi
1,600,000
Jumlah 129,000,000
36. Bagi menampung bajet 2005 yang tidak mencukupi, Pengurusan
RISDA akan mengemukakan permohonan menambah peruntukan melalui
penggunaan sumber dalaman sebanyak RM82,028,120 dalam Mesyuarat
Pihak Berkuasa akan datang. Peruntukan yang dipohon adalah seperti
berikut :-
Program
Peruntukan(RM)
i. Program Tanam
Semula
17,745,040
ii. Aktiviti Ekonomi Tambahan
(AET) 3,000,000
iii. Projek Integrasi Tanam Semula Getah (PITG)
5,000,000
iv. Pemulangan Wang Ses
Estet
10,000,000
v.
Faedah Pinjaman
Kerajaan
2,845,000
vi Kemudahan
Pengurusan
27,862,220
vii. Sumbangan Kepada Belanja
Mengurus 15,575,860
Jumlah 82,028,120
D. PENERUSAN PENDEKATAN
MODEL PEMBANGUNAN PEKEBUN KECIL
(MODEL BISNES STRATEGIK RISDA)
TERAJU 1: PEMBANGUNAN TANAM SEMULA DAN PERLADANGAN
37. Pada tahun 2005, RISDA akan terus melaksanakan tujuh
Program Tanam Semula sebagai aktiviti teras yang meliputi
program-program berikut:-
JENIS PROGRAM
MATLAMAT FIZIKAL (Hek.)
1. Tanam Semula Getah
ke 20,000
Getah Intergrasi (TSGGI)- Ansuran I
2. Tanam Semula Getah
ke 63,633
Getah Intergrasi (TSGGI)- Berikut
3. Tanam Semula Getah ke
10,300
Tanaman Lain (TSGL komited 2001)-Berikut
4. Tanam Semula Bantuan
Berturut 375
(kelulusan RMKe-7 & sebelum)
5. Rancangan Pemulihan Kebun (RPK)
2,000
Tanam Semula
6. Tanam Semula Getah ke
Tanaman Lain (TSGL) < 2.5 hektar –Ansuran I
5,000
7. Tanam Semula Getah ke
Tanaman Lain (TSGL) < 2.5 hektar –Berikut
2,50
38. Kejayaan Program Tanam Semula boleh diterjemahkan melalui
tempoh keremajaan pokok dan produktiviti hasil. Kita masih terus
mengekalkan dan memperkukuhkan piawaian (standard) bagi aspek ini
iaitu bagi tanaman getah, tempoh keremajaan ialah 4 ½ tahun dengan
produktiviti 1,500 kg/hektar/tahun dan bagi tanaman sawit pula,
tempoh keremajaan ialah 2 ½ tahun dengan produktiviti 20
mt/hektar/tahun. Kunci utama dalam memastikan piawaian ini tercapai
haruslah selari dengan peranan pengembangan di lapangan yang
semestinya mantap dan sistematik. Pengukuhan dalam pelaksanaan
secara holistik ke arah matlamat tersebut telah dirangkakan melalui
Arahan Ketua Pengarah Bil.9/2004 bertarikh 29 November 2004 sebagai
tambahan kepada AKP Bil.14/2001 yang perlu dijadikan asas rujukan
oleh semua pihak.
39. Kursus secara formal dan informal kepada staf dan pekebun
kecil akan dipergiatkan, khususnya dalam bidang teknologi yang
tertentu. Langkah ini bertujuan bagi memastikan staf dan pekebun
kecil terbabit mempunyai ilmu pengetahuan terkini dalam teknologi
tanaman getah, sawit dan tanaman integrasi. Semua PRN/PRD diminta
mengadakan kursus in-situ setiap dua minggu sekali (hari
Sabtu/Khamis) di lapangan dan dibuat secara berjadual sesuai dengan
keperluan setempat.
40. Pemantauan yang berterusan perlu dilakukan oleh PRN/PRD ke
atas pencapaian matlamat yang telah saya nyatakan di atas. Program
Pemantauan 3:3:1:3 yang diperkenalkan dalam tahun 2002 perlu diambil
perhatian dengan lebih serius dalam pelaksanaannya. Ini
penting kerana melalui program ini, pihak RISDA boleh
menggunakan data yang dikumpul untuk melihat kejayaan Program Tanam
Semula. Oleh itu, saya meminta semua PRN/PRD memastikan
elemen-elemen penting dalam program ini dilaksanakan dengan lancar.
Ini termasuklah memastikan proses pengemaskinian data dalam Buku
Rekod Ladang oleh Pembantu Pertanian sentiasa dilakukan. Ketepatan
data merupakan satu lagi elemen yang perlu diambil berat kerana ia
mencerminkan sumbangan RISDA dalam membangunkan sektor pekebun
kecil.
TERAJU 2 : PEMBANGUNAN EKONOMI TAMBAHAN
41. Pembangunan Program Ekonomi Tambahan telah masuk tahun
kedua pelaksanaannya. Secara keseluruhannya, Program ini telah
berjaya meningkatkan pendapatan pekebun kecil tetapi masih ada
ruang untuk memperbaiki pelaksanaannya. Kita perlu membuat
penilaian semula tentang keberkesanan program ini dari segi
pemilihan projek, pemilihan peserta dan pemasaran produk yang
dihasilkan.
42. Pada tahun 2003 dan 2004, sejumlah 682 projek telah
dilaksanakan oleh 1,040 orang pekebun kecil yang meliputi bidang
ternakan, akuakultur, tanaman dan ekonomi desa di bawah Program AET
dan PITG. Jumlah peruntukan yang terlibat adalah RM17,152,580.
Pelaksanaan projek-projek ini mestilah dipantau secara berterusan
untuk memastikan ia memberi manfaat kepada pengusahanya.
43. RISDA akan mewujudkan satu Pelan Tindakan Meningkatkan
Ekonomi Pekebun Kecil pada tahun 2005 yang akan merangkumi satu
perancangan 5 tahun dalam RMKe-9. Bahagian Peningkatan Ekonomi
diminta untuk merangka Pelan Tindakan ini dengan mengambil kira
bilangan dan peratus pekebun kecil yang boleh dibantu dan juga
bilangan pekebun kecil yang boleh mencapai pendapatan RM1,200
sebulan sekeluarga. Data Banci Pekebun Kecil 2002 boleh diguna
untuk tujuan ini. Pada tahun 2005, data banci juga akan digunakan
untuk mengenal pasti peserta-peserta AET, PITG dan juga peserta
projek di bawah SPKR.
44. Projek-projek ekonomi yang akan di beri fokus adalah
projek “Low Risk High Return”. Projek-projek yang dimaksudkan
adalah dalam bidang di mana RISDA ada kekuatan dan kepakaran serta
mempunyai bekalan baka, benih, makanan yang mencukupi serta pasaran
yang pasti. Projek-projek lain yang sedia ada akan dikaji semula.
45. Dari segi pemilihan peserta, kategori pendapatan akan
dimasukkan sebagai salah satu kriteria kelayakan pemohon. Hanya
pekebun kecil yang mempunyai pendapatan di bawah kategori mudah
miskin iaitu di bawah RM1,200 sebulan sekeluarga akan layak untuk
menerima bantuan AET atau PITG. Staf dan bakal peserta akan diberi
latihan kemahiran mengikut bidang yang diberi keutamaan.
46. Sejumlah RM3.0 juta di bawah Aktiviti Ekonomi Tambahan
(AET) dan RM5.0 juta di bawah Projek Integrasi Tanam Semula Getah
(PITG) akan disediakan untuk melaksanakan projek-projek yang berdaya
maju dan ada potensi pasaran. Di samping peruntukan ini, Pengurusan
RISDA akan berusaha untuk mendapatkan peruntukan bagi Program
Peningkatan Pendapatan (PPP) di bawah SPKR daripada KKLW untuk
membolehkan lebih ramai pekebun kecil mendapat manfaat.
47. Untuk memantapkan lagi pelaksanaan pembangunan ekonomi
tambahan, struktur organisasinya akan diperkemaskan. Semua PRN
diminta untuk mengadakan Unit Khas peningkatan ekonomi di negeri dan
daerah. Sebagai langkah untuk memastikan program ini dilaksanakan
secara serius, pencapaian program ini akan dimasukkan ke dalam SKT
semua PRN dan PRD.
48. Selain daripada Program Peningkatan Ekonomi, pendekatan
Satu Daerah Satu Industri (1D1I) RISDA di bawah pemantauan KKLW akan
diberi tumpuan khas. Produk di bawah program ini ialah produk daun
getah dan makanan ringan. Pada tahun 2004, penekanan telah diberi
kepada produk kraf daun getah dan Alhamdullillah pencapaian industri
ini adalah membanggakan. Seramai 232 orang wanita pekebun kecil
telah terlibat dalam industri dan kajian keberkesanan projek yang
dilaksanakan oleh BPE telah membuktikan projek ini dapat
meningkatkan pendapatan keluarga pekebun kecil dari RM300 sehingga
RM1,500 sebulan. Pada tahun 2005, fokus akan diberi kepada produk
makanan ringan dari segi mutu produk, pembungkusan dan
pemasarannya. Satu jenama akan dikenal pasti untuk semua produk
makanan ringan. BPE juga akan memberi fokus kepada pengeluaran dan
pemasaran produk-produk ekonomi desa. Sub-unit pengeluaran dan
pemasaran akan diwujudkan di bawah unit ekonomi desa yang sedia ada.
TERAJU 3 : PEMBANGUNAN EKONOMI KOMERSIAL
49. Pada tahun 2004, peratus kejayaan projek-projek komersial
yang diurus oleh Anak Syarikat RISDA adalah rendah dan pembayaran
dividen kepada pekebun kecil tidak dapat dibuat mengikut jadual yang
telah ditetapkan. Perkara ini telah dibangkitkan oleh KKLW dan
RISDA telah diminta untuk memastikan pekebun kecil memperoleh
dividen daripada projek-projek komersial ini.
50. Dalam tahun 2005, urusan pusat-pusat pembakaan dan
pembiakan serta projek-projek ternakan komersial yang diuruskan
oleh RSPSB dan ESPEK akan dikaji semula sama ada akan diserahkan
pengurusannya kepada BPE, PRN/PRD atau diurus oleh satu entiti
perniagaan yang sedia ada atau baru. Projek Komersial ini perlu
diurus dan dilaksanakan sebaik mungkin dan sepatutnya menjadi contoh
kepada pekebun kecil yang berminat untuk mengusahakan projek secara
komersial.
51. Bagi projek-projek komersial yang masih diurus oleh Agen
Mengurus sama ada Anak Syarikat atau Koperasi, RISDA akan mewujudkan
Key Performance Indicators (KPI) untuk memastikan mereka benar-benar
mengikut Industry Standard dalam pengurusan projek tersebut.
TERAJU 4 : PEMBANGUNAN MANUSIA DAN INSTITUSI PEKEBUN KECIL
52. Di samping pembangunan fizikal, RISDA tetap meneruskan
agenda bagi membangunkan manusia supaya pembangunan fizikal yang
dilaksanakan dapat dimanfaat dan difahami oleh kumpulan sasar.
Pembangunan manusia akan menjadi mudah sekiranya dilakukan melalui
sesuatu pertubuhan atau institusi. Untuk itu, institusi sedia ada
iaitu Koperasi Pekebun Kecil (KPK), Perkumpulan Wanita Pekebun Kecil
(PWPK) dan Kampung Gerakan Daya Wawasan (GDW) perlu diperkasakan
dalam segala aspek.
Pembangunan Koperasi Pekebun Kecil
53. Matlamat pembangunan KPK bertujuan memantapkan institusi
ini supaya mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada ahli-ahlinya.
PRN, PRD/PRJ dan Pengurus KPK hendaklah senantiasa memantau serta
mengambil tindakan pembaikan atas sistem pelaksanaan sekarang agar
ia bersesuaian ke arah pencapaian matlamat 2005 yang digariskan
seperti berikut :-
· Setiap KPK memperoleh seramai 20 ahli baru.
. Seramai 50 orang ahli bagi setiap KPK membayar saham
penuh.
· Keuntungan bersih setiap KPK sekurang-kurangnya
RM100,000.
· Dividen dibayar oleh setiap KPK sekurang-kurangnya
sebanyak 10 peratus.
· Semua KPK mengaplikasi sepenuhnya Perisian PESAKA PLUS
dalam urusan berkaitan keahlian, kewangan dan perniagaannya.
· Keputusan atas kedudukan ahli yang tidak aktif (dormant)
perlu diselesaikan supaya KPK mempunyai ahli yang berkualiti dan
sentiasa bersama dalam memajukan KPK.
· Perkongsian bijak antara KPK dengan Anak Syarikat
dipertingkatkan lagi ke tahap 80 peratus, terutama yang melibatkan
sektor pekebun kecil.
· Sebanyak 20 peratus daripada Tabung Pendidikan KPK
disalurkan untuk program tuisyen anak-anak pekebun kecil.
54. Perkongsian bijak yang jujur dan telus antara Anak
Syarikat dengan KPK perlu dipertingkatkan terutama bagi
aktiviti-aktiviti huluan yang memberi faedah kepada kumpulan sasar.
Ini secara tidak langsung dapat membantu KPK meningkatkan
kemahiran dalam bidang yang sama, dan secara berperingkat-peringkat
mengambil alih aktiviti-aktiviti huluan yang sekarang ini masih
dijalankan oleh Anak Syarikat.
55. Sinergi antara sesama KPK juga perlu diperkasakan agar KPK
yang menghadapi kekurangan peluang disebabkan faktor persekitaran
dan dalaman mendapat dan merasai peluang yang diperoleh oleh KPK
yang lain. Ia bukan sahaja terhad kepada KPK dalam satu-satu
negeri, tetapi hubungan perniagaan ini perlu dilihat di kalangan KPK
antara negeri. Sehubungan dengan ini, adalah perlu setiap KPK
mengenal pasti aktiviti teras masing-masing dengan mengambil kira
faktor kekuatan dan kepakaran mereka. Dalam masa yang sama,
kedudukan gred Pengurus KPK akan dikaji semula dan usaha untuk
menaikkan gred akan dilakukan berdasarkan kepada prestasi KPK. Ini
bertujuan supaya Pengurus KPK lebih komited dan tidak terabai dalam
aspek pembangunan kerjaya mereka.
56. Jawatankuasa Pindaan Undang-Undang Kecil KPK yang telah
ditubuhkan akan meneruskan usaha bagi membolehkan pindaan ini
diselesai dan dibentangkan dalam Mesyuarat Agung KPK tahun 2005.
Sedemikian, setiap PRN/PRD dengan bantuan Bahagian Pengembangan dan
Kesejahteraan Rakyat akan menyelaraskan undang-undang kecil untuk
diserapkan dan seterusnya dibentangkan dalam mesyuarat agung
masing-masing.
Perkumpulan Wanita Pekebun Kecil (PWPK)
57. Peranan perkumpulan wanita dalam membangunkan negara
memang tidak dinafikan oleh pihak Kerajaan. Dalam hal ini, RISDA
tidak terkecuali memainkan peranan dalam memastikan golongan pekebun
kecil wanita atau ahli wanita dalam keluarga pekebun kecil
melibatkan diri dalam meningkatkan taraf hidup keluarga
masing-masing.
58. Jika dilihat kepada senario PWPK semasa, ia masih berada
di tahap yang belum memuaskan dan usaha yang lebih gigih perlu
diambil bagi menjadikan perkumpulan ini benar-benar memainkan
peranan yang lebih mantap. Sehubungan ini, langkah-langkah seperti
menyusun semula struktur dan fungsi PWPK dan memantapkan peranan
Penggerak PWPK perlu diambil. PRN dan PRD/PRJ perlu mengambil
tindakan pengukuhan Unit atau Seksi PWPK supaya proses pemantauan,
mengenal pasti bentuk perkongsian bijak dengan pertubuhan wanita
agensi lain dan swasta serta memperluas jaringan pasaran dapat
dilakukan.
59. Petunjuk atau Indeks Prestasi (Performance Index) dan
pemantauan gerak kerja PWPK telah dirangkakan agar hala tuju arah
PWPK ini menjadi lebih jelas kepada semua lapisan pegawai dan staf.
Untuk tujuan ini, pematuhan kepada Arahan Ketua Pengarah yang
berkaitan dengannya akan menjadi asas panduan ke arah kecemerlangan
PWPK di masa hadapan.
60. Usaha supaya penggabungan PWPK di bawah GDW dan
menjadikannya sebagai satu cabang di bawah Biro Wanita JKKK Kampung
GDW hendaklah dimulakan. Ini bertujuan supaya JKKK terlibat sama
dalam membantu kejayaan PWPK dan ia menjadi satu agenda dalam setiap
mesyuaratnya.
61. Pihak Pengurusan akan berusaha membantu dalam memberi
latihan dalam aspek pembangunan insan dan juga kemahiran kepada ahli
dan Penggerak PWPK. Sehubungan dengan itu, agihan peruntukan
daripada Program Pembangunan Manusia dan Institusi, khusus untuk
pembangunan PWPK akan disediakan.
Gerakan Daya Wawasan.
62. Dalam memperkatakan GDW ini, penghayatan kepada konsep
pembangunan bersepadu dalam menjadikan kampung maju, menarik dan
menguntungkan dengan masyarakatnya yang inovatif, kreatif,
bekerjasama dan berfikiran global hendaklah diterapkan kepada semua
staf di lapangan. Ini adalah selaras dengan keputusan kerajaan
melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 16 Julai 2003 yang telah
bersetuju supaya pelaksanaan GDW melibatkan semua kampung dan tidak
terhad kepada kampung-kampung yang mempunyai potensi sahaja. Oleh
itu, semua kampung akan digerakkan supaya membangunkan desa dan
masyarakat masing-masing berteraskan konsep perkongsian bijak (smart
partnership) yang melibatkan pihak Kerajaan, swasta dan badan bukan
kerajaan (NGO).
63. PRN dan PRD/PRJ hendaklah berusaha untuk melaksanakan
usaha dan merangka strategi supaya mencapai matlamat sebagaimana
yang digariskan dalam Arahan Ketua Pengarah Bil. 8/2004. Perlu
diingat, jangan sekali-kali kita lupa melibatkan sama JKKK dan
agensi kerajaan yang lain dalam usaha kita melaksanakan sebarang
projek di kampung berkenaan.
64. Dalam kita berusaha menjadikan sesebuah kampung itu
Kampung GDW kelolaan RISDA, kita juga turut berperanan dalam usaha
bersepadu membangunkan Kampung GDW kendalian agensi KKLW yang lain.
Setiap projek kita perlu wujud dalam direktori projek kampung
berkenaan. Saya tidak mahu berlakunya keadaan di mana dalam
satu-satu kampung GDW terdapat projek RISDA, tetapi tidak tersenarai
dalam projek kampung berkenaan. Kita bukan bertujuan untuk
menonjolkan diri tetapi penampilan ini sedikit sebanyak membantu
RISDA dalam menanam benih kepercayaan dan membuka minda mengenai
peranan dan keupayaan RISDA dalam membantu masyarakat luar bandar.
65.
Dalam usaha meningkatkan bilangan penduduk luar bandar yang
celik komputer di kawasan luar bandar, pihak Kementerian telah
menyarankan RISDA menubuhkan beberapa buah Medan Infodesa (MID).
Pada masa kini, 3 buah MID iaitu di Kok Klang, Perlis; Kg.Pamah
Kulat, Pahang dan Kg. Jimah Baru, Negeri Sembilan telah
dibangunkan. Sekurang-kurangnya 3 buah MID lagi akan dibina pada
tahun 2005. Satu daripadanya iaitu Kg. Shafie, Bentong, Pahang di
mana telah diluluskan peruntukan awal sebanyak RM150,000 bagi tujuan
pembinaan infrastruktur. Kerja perolehan akan dimulakan dalam bulan
Januari 2005.
66. Staf di lapangan perlu menggembleng tenaga dalam
melaksanakan program-program yang menyumbang kepada kejayaan Kampung
GDW. Antara programnya ialah Program Pengupayaan GDW, Ameniti
Sosial, Latihan dan Konvensyen dan sebagainya.
TERAJU 5 : PEMBANGUNAN AHLI ISI RUMAH
67. Dalam usaha RISDA memastikan teraju pembangunan ini
benar-benar memberi impek yang ketara, aspek pendidikan khususnya
kepada generasi kedua pekebun kecil akan dipergiatkan. Y.B. Menteri
KKLW dalam ucapannya di Majlis Sambutan Hari Raya RISDA pada 6
Disember 2004 sekali lagi menekankan pentingnya aspek pendidikan
ini di beri perhatian kerana manusia akan mudah berubah dan maju
dengan adanya ilmu pengetahuan. Dalam majlis yang sama juga, Y.B.
Pengerusi RISDA juga ada menyentuh perkara yang sama. Usaha murni
kita yang sedang dilaksana melalui Kolej RISDA akan dipergiatkan
bagi memastikan tiada tangisan generasi kedua pekebun kecil kerana
tertutup peluang untuk terus menimba ilmu sebagai persediaan mereka
dalam mengharungi situasi kehidupan yang makin mencabar.
68. Dengan peruntukan KKLW yang sering diterima saban tahun
oleh RISDA melalui Program Pembangunan Minda Insan (PPMI) dan
Program Latihan dan Pendidikan (PLP), kursus dalam membentuk jati
diri pekebun kecil dan latihan kemahiran yang dikendalikan oleh
Kolej RISDA dan pengendali-pengendali kursus profesional akan
dirancang untuk dilaksanakan dalam tahun 2005.
69. Bagi tahun 2005, RISDA telah memohon kepada Kementerian
peruntukan sebanyak RM397,000 bagi PPMI dan RM3.30 juta untuk PLP.
Di samping itu, bagi Program Latihan ICT Desa yang bertujuan bagi
memastikan masyarakat luar bandar celik komputer, agihan peruntukan
kepada agensi masih lagi belum diputuskan oleh KKLW.
70. Dalam menjayakan program ini supaya ia memberi kesan yang
dikehendaki, semua PRN dan PRD/PRJ perlu memainkan peranan yang
lebih agresif. Antaranya ialah :-
§
Membantu pihak Kolej RISDA dalam mengenal pasti dan menyalur segala
bentuk pertolongan kepada anak-anak pekebun kecil miskin untuk
mendapatkan tempat di Kolej RISDA. Dalam hal ini, Bahagian
Pengembangan dan Kesejahteraan Rakyat perlu dimaklumi tentang setiap
anak pekebun kecil yang berjaya mendapat tempat bagi urusan bantuan
pembiayaan pengajian mereka.
§
Memberi keutamaan kepada pekebun kecil yang dipantau dalam Program
Pemantauan 3:3:1:3 menyertai kursus formal di bawah Program
Pembangunan Minda Insan (PPMI). Apa yang diharap daripada program
ialah pembentukan insan yang bermotivasi supaya akhirnya pengamalan
teknologi yang diajar dan disalurkan kepada mereka dapat
dimanfaatkan.
E. MEMANTAPKAN AKTIVITI SOKONGAN
Khidmat Pengembangan/Pembangunan Manusia Dan Institusi
71. Pihak KKLW telah menyarankan kepada RISDA dan agensi di
bawahnya supaya menitikberatkan latihan formal dan informal. Dalam
hal ini, PRN dan PRD/PRJ perlu memantau agar 60 peratus, saya ulangi
60 peratus, daripada perbelanjaan peruntukan Khidmat Pengembangan
digunakan untuk tujuan memberi latihan dan kursus ke arah perubahan
sikap dan meningkat kemahiran kumpulan sasar dan bakinya 40 peratus
untuk menjalankan aktiviti-aktiviti lain yang berkaitan seperti
penganjuran majlis-majlis pelancaran, perasmian, pameran, ekspo dan
sebagainya.
72. Bagi program yang melibatkan orang kenamaan, permohonan
kelulusan peruntukan hendaklah dibuat terlebih dahulu daripada Ibu
Pejabat. Sebanyak RM200,000 akan diperuntukkan untuk tujuan
Penyelidikan dan Pembangunan
(R &
D) di mana satu-satu teknologi baru yang diperkenalkan akan
dilaksanakan di lapangan melalui kaedah projek perintis dan
dikembangkan kepada projek contoh. Di samping itu, poster,
risalah, buletin seperti IMPEK yang bercorak teknikal akan
dipertingkatkkan penerbitannya mengikut teknologi semasa yang
bersesuaian.
73. Perkara ini saya tekankan di sini kerana hasil pemantauan
dan kajian yang dibuat atas perbelanjaan peruntukan Khidmat
Pengembangan Tahun 2004 mendapati sebanyak 37 peratus perbelanjaan
dibuat bagi mengadakan majlis-majlis perasmian projek dan pemimpin
bersama rakyat. Hanya 16 peratus sahaja diguna bagi tujuan latihan
formal dan informal. Analisis ke atas peruntukan yang diberi untuk
melaksanakan kursus formal, didapati hanya 35 peratus yang digunakan
oleh PRN dan PRD/PRJ. Berdasarkan kepada perbelanjaan keseluruhan
peruntukan Khidmat Pengembangan tahun lepas, peratus perbelanjaan
amat memberangsangkan. Ini menggambarkan kaedah dan cara penggunaan
peruntukan masih tidak mengikut matlamat dan kehendak pengurusan
sebagaimana yang telah digariskan.
74. Walau pun peruntukan yang diberi di bawah program ini pada
tahun 2005 ialah sebanyak RM1.6 juta, peruntukan tambahan daripada
sumber dalaman akan dipohon sebanyak RM2.0 juta, ini menjadikan
jumlahnya RM3.6 juta bagi tujuan untuk membolehkan program ini dapat
dilaksanakan di lapangan mengikut arah hala yang ditetapkan.
75. Bagi latihan formal, RM1.0 juta akan disediakan bagi
melaksanakan kursus berbentuk kemahiran, teknologi tanaman getah,
sawit dan tanaman-tanaman selingan, motivasi, perubahan sikap dan
pembangunan minda pekebun kecil. Semua Ketua PT perlu membuat dan
mengemukakan kertas cadangan kepada Pengarah Program atas sebarang
kursus formal yang ingin dijalankan di peringkat lapangan untuk
dipertimbangkan kelulusannya. Ini bertujuan supaya pelaksanaan
latihan formal ini benar-benar tersusun baik dari segi kategori
pesertanya, kandungan kursus dan kewajaran kos yang akan terlibat.
PRN dan PRD/PRJ hendaklah merancang supaya latihan formal yang
dirangka untuk tahun 2005 dapat dibuat mengikut tata cara yang
ditetapkan dan selesai dilaksanakan dalam bulan Oktober 2005. Dalam
hal ini wajaran perbelanjaan mengikut teraju pembangunan hendaklah
diambil kira dan dipatuhi seperti berikut :-
Teraju
Peratus Tumpuan
Pembangunan Tanam Semula & Perladangan 30
Pembangunan Ekonomi Tambahan 20
Pembangunan Ekonomi Komersial
5
Pembangunan Institusi Pekebun Kecil
25
Pembangunan Ahli Isi
Rumah 20
76. Bagi melicinkan proses pemindahan teknologi, terutamanya
kepada golongan pekebun kecil, tenaga pengajar Kolej RISDA patut
memberi kerjasama dalam memberi latihan kepada golongan ini di
premis Kolej RISDA.
77. Bagi meningkatkan produktiviti tanaman getah dan sawit,
khidmat pengembangan seharusnya tidak terhad pada peringkat pokok
muda sahaja atau semasa kebun berkenaan masih dalam bantuan tanam
semula, tetapi hendaklah diteruskan pada peringkat pokok matang
semasa bantuan tanam semula telah habis dibayar. Selepas melabur
modal, tenaga dan masa dalam menjayakan kebun tanam semula,
peringkat eksploitasi dan penuaian hasil tidak wajar diabaikan.
Sektor Pembekalan Input Perusahaan
78. RISDA akan memperkemaskan pengurusan Pusat-Pusat Pembakaan
& Pembiakan yang telah ditubuhkan bagi membekalkan baka kepada
peserta-peserta projek AET dan PITG.
a. Pusat Pembakaan Dan Pembiakan Kambing Boer
79. Penubuhan 4 buah Pusat Pembakaan dan Pembiakan di Kg.
Awah, Temerloh; Tanjung Genting, Sintok; Kg.Wek, Machang dan yang
terbaru di Mersing, Johor bertujuan membekalkan anak baka Kambing
Boer yang berkualiti pada kadar harga yang berpatutan kepada pekebun
kecil. Namun setelah 2 tahun pelaksanaannya, kita masih menghadapi
masalah untuk membekal anak baka Kambing Boer yang mencukupi kepada
pekebun kecil kerana pusat-pusat ini belum berupaya mengeluarkan
anak baka seperti yang dikehendaki. Setakat Disember 2004, RSPSB
hanya dapat membekalkan 1,333 ekor anak Kambing Boer kepada 34 orang
pekebun kecil.
80. Bahagian Peningkatan Ekonomi dikehendaki memantau
pusat-pusat ini dari segi pengurusan, pengeluaran dan pembekalan
baka kepada pekebun kecil. Pengurusan RISDA juga akan mengkaji
semula penetapan harga jualan dan belian anak kambing supaya pekebun
kecil mendapat manfaat sepenuhnya daripada pusat-pusat ini seperti
mana objektif penubuhannya.
81. Berasaskan keadaan yang ada, bilangan anak baka Kambing
Boer yang dijangka boleh dikeluarkan dalam tahun 2005 adalah :-
i.
Kg. Awah, Pahang - 1,800 ekor
ii.
Tanjung Genting, Kedah - 900 ekor
iii.
Kg.Wek, Kelantan - 900 ekor
iv.
Mersing, Johor - 900 ekor
JUMLAH BESAR - 4,500 ekor
b.
Pusat Pembakaan dan Pembiakan Ikan Tilapia Merah
82. Setakat Disember 2004, Pusat Pembakaan dan Pembiakan Ikan
Tilapia Merah di Kg. Ajil, Terengganu; Kg. Legeh, Kelantan dan Bukit
Sireh, Kelantan telah membekalkan 3,178,580 ekor ikan tilapia
kepada 400 orang pekebun kecil di bawah projek AET, PITG dan SPKR.
Namun begitu, Pengurusan RISDA berharap pusat-pusat ini akan terus
berusaha untuk meningkatkan mutu benih yang dikeluarkan dan di
samping dapat mengurangkan kos pengeluarannya. Jumlah benih yang
dijangkakan boleh dikeluarkan dalam tahun 2005 adalah :-
i.
Kg. Ajil, Terengganu - 1.8 juta ekor
ii.
Kg. Legeh, Kelantan - 3.0 juta ekor
iii.
Bukit Sireh, Kelantan - 4.2 juta ekor
JUMLAH BESAR - 9.0 juta ekor
c. Pusat Pembakaan dan Pembiakan Burung Unta
83. Pada tahun 2004, Pusat Pembakaan dan Pembiakan Burung Unta
di Changkat Sulaiman, Perak hanya dapat mengeluarkan sebanyak 136
ekor anak Burung Unta kepada 8 orang pekebun kecil di sekitar
Changkat Sulaiman. Mana kala dalam tahun 2005, Pusat ini dijangka
akan dapat mengeluarkan sebanyak 473 ekor anak Burung Unta untuk
dibekalkan kepada pekebun kecil di Negeri Perak sahaja.
d. Pusat Pembakaan dan Pembiakan Ayam Kampung Kacukan
84. Pusat Pembakaan dan Pembiakan Ayam Kampung Kacukan yang
diuruskan oleh RSPSB di Ladang Sekijang, Segamat bertujuan untuk
membekalkan anak-anak Ayam Kampung Kacukan kepada pekebun kecil yang
akan menjalankan projek di bawah Sektor Pengeluaran Produk. Baka
Induk yang digunakan adalah dari jenis JA 57i bagi baka betina dan
S 77n bagi baka jantan. Kedua-dua baka ini diimport dari Hubbard
Isa Perancis.
85. Setakat Disember 2004, pusat ini telah membekalkan 13,500
ekor anak ayam kepada 9 orang pekebun kecil. Dijangka pada tahun
2005, sejumlah 78,000 ekor anak ayam dapat dikeluarkan oleh pusat
ini. Pengurusan RISDA berharap pusat ini dapat mengeluar dan
membekalkan anak ayam bermutu dengan harga yang rendah serta
berterusan kepada pekebun kecil.
Sektor Pengeluaran Produk
86. Tahun 2004 merupakan tahun kedua pekebun kecil melibatkan
diri secara langsung di lapangan dalam sektor pengeluaran produk.
Secara keseluruhan projek yang telah dilaksanakan pekebun kecil ini,
telah berjaya meningkatkan pendapatan mereka selaras dengan objektif
RISDA. Pada tahun 2003 dan 2004, sejumlah 682 projek AET dan PITG
telah dijalankan oleh seramai 1,040 orang pekebun kecil. Walau pun
bilangan ini sedikit tetapi program ini telah memberi impek yang
positif dan berkesan kepada peningkatan ekonomi kumpulan sasar.
87.
Pengurusan RISDA berharap PRN, PRD dan staf RISDA dapat berganding
bahu untuk bekerja sebagai satu pasukan bagi membantu pekebun kecil
dalam perancangan penggunaan sumber sedia ada secara optimum untuk
meningkatkan pendapatan mereka di samping membantu Kerajaan untuk
meningkatkan pengeluaran makanan negara. Dalam sektor ini, peranan
PRN dan PRD adalah amat penting sekali. PRN hendaklah membuat
perancangan menyediakan “blueprint” projek-projek ekonomi yang
mempunyai potensi pasaran dan berdaya maju setelah berbincang dalam
Jawatankuasa Teknikal Negeri yang melibatkan Jabatan Perkhidmatan
Haiwan, Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan dan lain-lain lagi.
88. Saya sekali lagi ingin mengingatkan diri kita bahawa
kejayaan sesuatu projek itu banyak bergantung kepada ketepatan
pemilihan peserta, keupayaan dan kemahiran peserta di samping
melaksanakan program ini dengan penuh rasa tangungjawab dan
terancang di samping menjaga imej RISDA sebagai peneraju pembangunan
pekebun kecil. Di samping itu, Bahagian Peningkatan Ekonomi
dikehendaki mewujudkan satu sistem mengemas kini rekod pengusaha di
setiap negeri dan daerah.
Sektor Pengumpulan dan Pemasaran Produk
89. Sektor ini menjadi penentu sama ada sesuatu projek itu
boleh menjadi berdaya maju, berterusan dan sanggup diusahakan oleh
pekebun kecil. Pada tahun 2003 dan 2004, RISDA terpaksa juga
terlibat secara terus untuk memantapkan sektor pengumpulan dan
pemasaran produk yang dikeluarkan oleh pekebun kecil. S’Mart yang
diuruskan oleh RSPSB di Ipoh, Perak merupakan salah satu saluran
pemasaran bagi produk-produk daging kambing, lembu, ikan, burung
unta dan ayam kampung yang dihasilkan oleh anak syarikat dan pekebun
kecil. Setelah setahun beroperasi, S’Mart masih tidak berupaya
untuk memasarkan hasil perniagaan tani dengan baik. RSPSB perlu
melipatgandakan usaha untuk mengurus S’Mart secara satu entiti
perniagaan yang berkesan. Adalah diharap dengan kelulusan peruntukan
sejumlah RM800,000 daripada KKLW, RSPSB dapat mengatasi masalah
ketiadaan modal pusingan untuk beroperasi pada kapasiti optimum.
90. Pada tahun ini, 2 buah lagi S’Mart akan dibuka iaitu di
tapak Ibu Pejabat dan di bangunan Pejabat RISDA Negeri Selangor di
Shah Alam. Peruntukan sejumlah RM2.8 juta telah diterima pada tahun
2004 dan pembinaan S’Mart ini sedang diuruskan. Adalah diharapkan
dengan adanya tambahan saluran pemasaran ini, hasil-hasil perniagaan
tani dapat dipasarkan dengan lebih bersistematik.
91. Selain daripada S’Mart, RSPSB juga telah memasuki pasaran
TESCO dan Pasar Rakyat. Pendekatan yang lebih agresif perlu diambil
dalam usaha memasarkan produk keluaran pekebun kecil. Perancangan
yang lebih rapi perlu diambil oleh BPE dan RSPSB dari segi keperluan
dan bekalan serta lokasi projek, jadual bekalan dan belian balik
dalam sistem integrator yang telah diwujudkan.
Sektor Pemerosesan Produk
92. Sektor ini juga akan diberi lebih penekanan pada tahun
2005. Kalau sebelum ini penekanan telah diberi kepada Anak Syarikat
untuk melaksanakan tugas ini, pada tahun 2005, penekanan akan diberi
kepada pekebun kecil yang berjaya untuk memainkan peranan tersebut.
Pekebun kecil yang mempunyai sifat keusahawanan dan sikap ingin maju
akan diberi peluang untuk melibatkan diri dalam sektor ini. Sektor
ini bertujuan untuk menambah nilai produk-produk di bawah sektor
pengeluaran produk di samping untuk meluaskan golongan pengguna
produk tersebut.
F. PEMULANGAN WANG SES ESTET
93. RISDA dipertanggungjawabkan bagi pemulangan wang ses tanam
semula kepada estet-estet yang berdaftar dengan Rancangan Perusahaan
Getah (Penanaman Semula) Bagi Estet-Estet 1974. Sumbangan industri
getah kepada ekonomi negara amat diperlukan dan dijangka dengan
harga yang tinggi, sektor estet akan mengekalkan kawasan getah
seperti yang ada dan dapat mengatasi pelbagai masalah buruh dengan
penggunaan teknologi yang ada di masa kini.
94. Bagi memenuhi keperluan tugas ini, Bahagian Estet akan
memperuntukkan RM10 juta untuk pemulangan wang ses estet dalam tahun
ini. Bersesuaian dengan budaya kualiti yang diamalkan, Bahagian
Estet akan membentangkan cadangan Piagam Pemulangan Wang Ses Estet
kepada Mesyuarat Pihak Berkuasa RISDA akan datang.
G. SKIM PEMBANGUNAN KESEJAHTERAAN RAKYAT (SPKR)
95. Penglibatan RISDA dalam pelaksanaan program ini adalah
selaras dengan fungsi RISDA yang termaktub dalam Akta RISDA (Akta
85, Tahun 1972) di mana RISDA diminta mengambil bahagian dalam
apa-apa aktiviti yang ditentukan oleh Menteri yang bertanggungjawab
dari semasa ke semasa berhubung dengan pembaikan dan kemajuan sektor
pekebun kecil.
96. Penampilan RISDA sebagai agensi pelaksana yang berwibawa
hendaklah dibuktikan dengan melaksanakan program yang diberi oleh
pihak KKLW dengan jayanya. Penambahan tugas kita dalam bidang
pembangunan luar bandar adalah selaras dengan cadangan perluasan
skop tugas dan tanggungjawab melalui pindaan Akta RISDA 1972 selepas
diluluskan oleh Mesyuarat JKMPPK. Lantaran itu, saya menyeru semua
lapisan pegawai dan staf yang melaksanakan program ini agar memberi
komitmen yang sama tinggi sebagaimana kita melaksanakan program
pembangunan RISDA seperti tanam semula dan sebagainya.
97. Bagi tahun 2005, selain daripada peruntukan Program
Pembangunan Minda Insan (PPMI) dan Program Latihan dan Pendidikan
(PLP) yang dipohon sebagaimana yang telah saya nyatakan, kita juga
telah mengemukakan permohonan peruntukan bagi program-program SPKR
lain. Jumlah peruntukan SPKR 2005 yang telah dipohon adalah sebanyak
RM17.06 juta. Selain itu, RISDA telah pun menerima peruntukan
sebanyak RM850,000 bagi melaksanakan projek yang telah dikenal pasti
oleh KKLW di bawah Program Pengupayaan GDW. Antaranya ialah Program
Integrasi Desa. RISDA juga diberi kepercayaan oleh KKLW bagi
meneruskan pelaksanaan Program Pembangunan Masyarakat Setempat
(PPMS) Kg. Sungai Berua, Hulu Terengganu yang tidak dapat diteruskan
pelaksanaannya oleh pihak lain.
H. PROGRAM DANA KHAS KERAJAAN PERSEKUTUAN (DKKP)
98. RISDA Terengganu masih diberi kepercayaan oleh
Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu untuk terus mengendalikan
pelaksanaan Program DKKP seperti Program Bantuan Rumah (PBR) dan
Program Tambahan Makanan Seimbang (PTMS) dalam tahun 2005.
Pengurusan RISDA akan terus memberi sokongan dan bantuan kepada
RISDA Terengganu dalam menjayakan program ini.
I. PENINGKATAN PROGRAM ICT
99. RISDA telah memasuki era kedua dalam perkembangan ICT di
mana tumpuan diberi kepada pembangunan sistem maklumat untuk
kegunaan pihak pengurusan pertengahan dan atasan. Ini merupakan
peningkatan daripada era pertama (1989 – 2000) yang lebih ditumpukan
kepada pembangunan sistem maklumat yang membantu dalam kerja-kerja
operasi harian RISDA dan juga pengolahan maklumat pada peringkat
pengurusan operasi. Usaha-usaha penambahbaikan yang telah
dibangunkan untuk tahun 2005 adalah seperti berikut :-
a. Sistem Maklumat Pekebun Kecil (SMPK) telah dilaksanakan
secara projek perintis di PRN Melaka, PRD Segamat, PRD Kulim dan PRN
Pulau Pinang. Sumber data utama kepada sistem ini ialah data banci
2002, data SMB serta sistem lain yang melibatkan pekebun kecil
seperti AMER yang dikendalikan oleh RSPSB. Satu mekanisme yang
mantap akan diwujudkan bagi memastikan maklumat pekebun kecil dapat
dikemaskinikan secara berterusan.
c. Perwujudan pangkalan data pekebun kecil akan
membolehkan Sistem Maklumat Eksekutif dibangunkan sebagai media
utama kepada pihak pengurusan pertengahan dan atasan untuk
mendapatkan maklumat yang boleh membantu mereka dalam membuat
perancangan dan keputusan. Sistem Maklumat Eksekutif akan
menggunakan juga maklumat daripada pangkalan data personel dan
pangkalan data kewangan agar maklumat yang dijana akan menggabungkan
maklumat fizikal, kewangan dan penggunaan tenaga manusia.
d. Infrastruktur teknologi maklumat akan dipertingkatkan
lagi terutamanya bagi menghubungkan semua PT dan Ibu Pejabat
menerusi rangkaian Wide Area Network (WAN). Satu rangkaian
komunikasi data yang menyeluruh dan bersepadu yang dikenali sebagai
RISDA*Net dijangka akan dapat disiapkan pada awal tahun 2005.
Dengan adanya RISDA*Net, penghantaran data daripada PT ke Ibu
Pejabat dan sebaliknya dapat dijalankan dengan cekap dan berkesan.
b. Laman Web RISDA sedang ditingkatkan fungsinya dengan
memasukkan
elemen-elemen interaktif, dinamik dan multi media dengan
menyediakan perkhidmatan atas talian kepada pelanggan RISDA,
terutamanya pekebun kecil. Perkhidmatan ini membolehkan pekebun
kecil membuat pertanyaan tentang bantuan tanam semula dan
projek-projek lain yang disertainya. Ruangan forum akan disediakan
bagi membolehkan pekebun kecil mengemukakan pertanyaan dan
mendapatkan nasihat daripada pegawai RISDA.
f. Pembekalan perkakasan komputer akan dipertingkatkan
sehingga ke Pejabat Stesen. Komputer yang berprestasi rendah, lama,
yang rosak dan tidak ekonomik untuk dibaiki akan diganti dengan
komputer baru mengikut norma yang telah ditetapkan.
g. Projek ICT dalam era kedua juga akan mengambil kira
pelaksanaan Kerajaan Elektronik (EG) sebagai program perdana
Kerajaan dalam projek MSC. Beberapa aplikasi utama dalam pakej
Kerajaan Elektronik seperti Project Monitoring System (PMS II),
Human Resource Management Information Systems (HRMIS) dan
e-Perolehan akan dilaksanakan secara berperingkat di semua agensi
Kerajaan termasuk RISDA.
J. KHIDMAT KEJURUTERAAN
100. Pada tahun 2005, RISDA Negeri Selangor dan Johor akan
mendapat bangunan pejabat yang baru. Bangunan PRN Selangor bernilai
RM5.2 juta dijangka akan dapat diduduki menjelang Januari 2005 mana
kala bangunan PRN Johor juga bernilai RM5.2 juta dijangka dapat
diduduki pada bulan April 2005. Bagi PRN Perak (anggaran nilai
kontrak RM4.8 juta), kerja pembinaan akan dapat dimulakan pada bulan
Februari 2005 dan dijangka dapat disiapkan menjelang bulan Jun
2006. Di samping itu, pihak Pengurusan RISDA juga merancang untuk
membina beberapa lagi bangunan untuk Pejabat RISDA Daerah dan
Pejabat Stesen.
101. Peruntukan sebanyak RM5.0 juta akan disediakan bagi
kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan bangunan-bangunan pejabat
sedia ada untuk menambahkan lagi keselesaan kepada pegawai dan staf.
K. PEMBANGUNAN KORPORAT
102. Sebagaimana saranan Y.B. Menteri kita, Anak-anak Syarikat
hendaklah memainkan peranan yang boleh membantu meningkatkan ekonomi
serta taraf kehidupan penduduk luar bandar. Usaha berterusan
hendaklah dilakukan bagi memberi perkhidmatan dan bekalan yang
berkualiti kepada pelanggan. Sumbangan kepada memaksimumkan
‘Shareholder’s Wealth’ merupakan objektif utama setiap syarikat.
Kesinambungan dan pengukuhan aktiviti teras hendaklah dipergiatkan
supaya menjadi lebih kompetitif.
103. Unit Perancang Ekonomi, JPM mengunjurkan ekonomi negara akan
berkembang pada kadar 6.0 peratus tahun ini. Oleh itu untuk mencapai
kadar pertumbuhan yang lebih tinggi, Anak-anak Syarikat perlu
menggubal dan mengubah suai dasar, strategi serta pendekatan dalam
aspek meningkatkan produktiviti, pengetahuan, kemahiran dan sistem
penyampaian. Disamping itu, Key Performance Indicators (KPIs) perlu
disediakan sebagai pengukur atau tanda aras untuk menentukan
matlamat tercapai.
Unjuran Prestasi Perniagaan 2005
104. Syarikat Milikan/Anak Syarikat dijangka akan terus
berkembang dalam tahun 2005 dengan dibantu oleh kemantapan ekonomi
negara serta andaian paras harga komoditi terus kukuh. Keuntungan
sebelum cukai yang diunjurkan adalah seperti berikut :-
Syarikat
RM’Juta
SHDC 0.50
ESPEK 2.49
RSSB 1.95
PROTAC 0.35
PRB 2.58
RSPSB 4.26
RWSB 0.50
KRIS 2.30
RISDA
Fleet 0.50
Jumlah
15.43
Smallholders Development Corporation Sdn. Bhd. (SHDC)
105. SHDC masih mengekalkan aktiviti terasnya iaitu Pengurusan
dan Pembangunan Hartanah dengan sokongan daripada aktiviti
Perniagaan Am dan Khidmat Keselamatan. Pembangunan hartanah di
Sungai Petani dijangka akan dimulakan pada awal Januari 2005. SHDC
hendaklah memastikan supaya pelaksanaan dan sasaran kerja menepati
seperti yang dirancang. Di samping itu, SHDC hendaklah menentukan
Pusat Latihan RISDA (RISTEC) di Port Dickson yang mula beroperasi
pada 1 September 2004 memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada
pelanggan, sama ada pelanggan dalaman dan juga kepada pasaran luar.
106. SHDC juga hendaklah menguruskan sewaan semua hartanah RISDA
yang tidak digunakan oleh RISDA dan Anak-Anak Syarikat di mana ini
akan dapat meningkatkan lagi pendapatan Tabung Akaun Amanah
Pengurusan Hartanah RISDA dan juga prestasi urus niaga. Bagi bidang
keselamatan, SHDC hendaklah memperbaiki mutu perkhidmatan di samping
memperluaskan perkhidmatan tersebut di pasaran luar.
Estet
Pekebun Kecil Sdn. Bhd. (ESPEK)
107. Dalam tahun 2005, program tanam semula akan diteruskan
dengan menebang 1,231 hektar pokok sawit tua untuk digantikan dengan
pokok lebih produktif. Kawasan matang seluas 31,531 hektar
berpotensi memberi tambahan hasil BTS sebanyak 15,000 tan atau
peningkatan 3 peratus berbanding tahun 2004. Pengurusan ESPEK akan
terus berusaha untuk meningkatkan produktiviti Ladang-ladang RISDA
melalui program pembajaan yang cost effective dan amalan agronomi
yang baik. Selain daripada itu, program mekanisasi di Ladang-ladang
RISDA telah terbukti dapat mencapai kecekapan dan keberkesanan untuk
meningkatkan produktiviti pekerja dan kos pengeluaran.
108. Pengurniaan Sijil ISO/IEC 17025 kepada makmal ESPEK Research
& Advisory Services (ERAS) akan terus dipelihara untuk terus memberi
kualiti perkhidmatan yang tinggi dan memuaskan pelanggan. Usaha
akan ditingkatkan untuk mendapatkan kontrak kerja pemetaan GPS/GIS
daripada FELDA yang telah menawarkan kontrak pemetaan pada tahun
2004 selain memberi perkhidmatan kepada pemilik ladang yang lain.
109.
Mulai tahun 2005, kesemua kilang sawit RISDA akan diuruskan oleh
ESPEK sepenuhnya. Tumpuan hendaklah diberikan bagi memastikan
peningkatan pengeluaran kilang-kilang melebihi tahap optimum dan
seterusnya menjanakan pulangan yang memuaskan. Untuk itu, tindakan
diambil bagi menambah kuantiti BTS yang diproses mencapai kapasiti
maksimum, membekalkan kepada kilang RISDA dengan BTS yang berkualiti
tinggi serta memenuhi piawaian gred MPOB.
RISDA
Semaian Dan Landskap Sdn. Bhd. (RSSB)
110. Sejajar dengan tema “Pakar Semaian dan Landskap Anda” RSSB
hendaklah sentiasa berusaha untuk meningkatkan prestasi dalam
pengurusan tapak semaian getah, semaian sawit dan pengurusan Pusat
Jualan/Khidmat Landskap terutama dari segi penjagaan kualiti. Dalam
tahun 2005, pastikan perancangan yang rapi untuk penyediaan benih
getah dan kelapa sawit. Dalam hal ini, RSSB perlu melibatkan KPK
dan kontraktor individu dalam penyediaan sebahagian daripada benih
getah dan sawit tersebut, memandangkan keperluan benih getah
dianggarkan sebanyak 10 juta pokok sementara untuk benih kelapa
sawit berjumlah 4.30 juta pokok.
111. Pusat jualan RSSB hendaklah terus berusaha meningkatkan
hasil jualan dengan strategi dan produk yang berdaya saing dalam
pasaran. Sebagai ‘ One Stop Garden Centre’ RSSB perlu mempergiatkan
lagi kempen serta promosi untuk menaikkan imejnya.
Protac Insurance Brokers Sdn Bhd
112. PROTAC telah dianugerahkan Sijil ISO 9001:2000 dalam skop
“Provision of Insurance Broking and Insurance Services” pada tahun
2004. Dengan anugerah tersebut PROTAC hendaklah berusaha
meningkatkan lagi pendapatannya pada tahun 2005 dengan menggerakkan
secara aktif jentera pemasarannya dalam mencari pelanggan baru di
samping mengekalkan pelanggan yang sedia ada.
113.
Dalam meningkatkan prestasinya pada tahun 2005, PROTAC perlu
menembusi insurans yang lebih berisiko tinggi seperti insurans
perkapalan antarabangsa dan ‘independent power plan’ yang
menggunakan syarikat insurans luar negara. Dengan adanya staf yang
berpengalaman dan berkemahiran, PROTAC mampu mencapai target yang
dikehendaki.
Permodalan RISDA Berhad (PRB)
114. PRB sebagai ‘Investment Arm’ kepada RISDA hendaklah terus
mengekalkan usahanya yang cekap dalam pengurusan dana pelaburan dan
pentadbiran pembiayaan. Selaras dengan etika kerja syarikat,
kepentingan pemilik dana hendaklah sentiasa diutamakan.
115. Bagi memastikan kesinambungan dan pengukuhan aktiviti
perkhidmatan, PRB perlu mempertingkatkan perkhidmatan sokongan dalam
bidang teknologi komunikasi maklumat (ICT), kewangan dan pembangunan
sumber manusia. Penekanan dalam penyelidikan hendaklah juga diberi
perhatian bagi memastikan keputusan pelaburan dibuat dengan tepat.
Status anugerah pensijilan MS ISO 9001: 2000 hendaklah dikekalkan di
samping penambahbaikan yang berterusan kepada pengurusan sistem
kualiti syarikat.
RISDA Smallholders Plantation Sdn. Bhd. (RSPSB)
116. RSPSB hendaklah memastikan matlamat pendapatan dalam
Flagship 1 Model Bisnes Strategik RISDA bagi peserta-peserta projek
yang diurusnya tercapai. Ini sangat penting untuk membolehkan hasrat
RISDA dalam Model Pembangunan tersebut terlaksana dengan jayanya.
Oleh yang demikian sangat perlu dipertingkatkan tahap kecekapan
dalam pengurusan dan pelaksanaan projek supaya produktiviti
meningkat ke tahap optimum bagi membolehkan projek yang diurus
mencapai keuntungan yang munasabah. Dengan keuntungan tersebut
dapatlah dividen peserta-peserta projek dibayar pada kadar yang
diperlukan bagi mencapai matlamat pendapatan dalam Flagship 1
tersebut.
117. Mulai tahun 2005, RSPSB hendaklah memberi tumpuan kepada
aktiviti teras iaitu pembangunan dan pengurusan ladang, pemasaran
dan perkhidmatan kontrak. Aktiviti Perniagaan Tani dan Pemasaran
Hasil Tani akan diletakkan di bawah entiti yang bersesuaian.
118. Bagi memastikan kos pengeluaran yang rendah dapat
dikekalkan, RSPSB disarankan melaksanakan sendiri kerja-kerja dalam
projek-projek ladangnya. Keperluan ini menuntut supaya pengurusan
tenaga buruh diperkukuhkan dan dipercekapkan lagi. RSPSB mesti
memastikan tenaga buruh sentiasa mencukupi supaya kerja-kerja di
ladang terutamanya kerja-kerja penuaian tidak terganggu. Di samping
itu seruan kerajaan untuk mengurangkan penggunaan tenaga buruh asing
hendaklah dilaksanakan dengan mengusahakan penambahaan buruh
tempatan secara bersungguh-sungguh.
119. Untuk memastikan pendapatan yang optimum, hasil ladang perlu
dijual pada harga tertinggi. Keadaan ini boleh dicapai dengan
mengadakan urus niaga terus dengan kilang pemprosesan. Hubungan baik
sedia ada dengan kilang sangat perlu dikekalkan, malah
dipertingkatkan. Oleh itu pengurusan pemasaran RSPSB hendaklah
diperkukuhkan dan dipertingkatkan serta selari dengan perkembangan
pengeluaran dari ladang yang semakin meningkat. Pengukuhan aktiviti
pemasaran RSPSB ini diharapkan boleh membantu Koperasi-koperasi
Pekebun Kecil dalam menggiatkan aktiviti pemasaran mereka dengan
mengadakan kerjasama sebagai “smart partnership” yang boleh
menguntungkan kedua-dua pihak.
120. Dari segi pengurusan syarikat, RSPSB hendaklah meningkatkan
perolehan dalam bajet 2005 sekurang-kurangnya 10 peratus lebih
tinggi daripada bajet 2004, supaya bersama dengan penurunan kos
pengurusan, matlamat 50 peratus sara diri dalam tahun 2005 dapat
dicapai. Sejajar dengan itu, perancangan strategik yang jitu perlu
dilaksanakan dalam tahun 2005 ke arah pencapaian status sara diri
sepenuhnya pada tahun 2006.
RISDA
Wood Sdn. Bhd. (RWSB)
121. Bagi tahun 2005, RWSB hendaklah memberi fokus kepada dua
aktiviti utama iaitu Kayu PT/KD dan aktiviti-aktiviti trading.
Usaha hendaklah dilakukan bagi menambah ‘volume’ perniagaan
berasaskan produk ini. Seterusnya RWSB hendaklah meneroka
bidang-bidang baru di dalam Industri Kayu Getah Bergergaji dan
Industri Perabot terutama yang mempunyai senergi dengan aktiviti
teras yang sedang dijalankan pada masa ini sebagai satu usaha
menambah pendapatan syarikat. Untuk itu, RWSB perlu memantapkan lagi
pakatan strategik dengan rakan niaga (panel) di dalam pengeluaran
kayu getah bergergaji basah (green) sebagai sumber bahan mentah
untuk pengeluaran kayu-kayu getah bergergaji kering (PT/KD).
122. Seterusnya semua cawangan RWSB hendaklah digerakkan kepada
aktiviti pengeluaran komponen perabot berisiko rendah seperti
pengeluaran “S4S”, “S2S” dan sebagainya bertujuan untuk meningkatkan
nilai tambah kayu-kayu getah yang diurusniagakan. RWSB hendaklah
menceburi bidang-bidang yang mempunyai sinergi dengan
aktiviti-aktiviti perniagaan semasa seperti trading perabot,
menyediakan perkhidmatan hiasan dalaman (interior decoration) khusus
di dalam pembekalan perabot bina dalam dan perabot siap.
Kolej
RISDA Sdn. Bhd. (KRIS)
123. Di dalam usaha memenuhi hasrat RISDA menerusi Teraju Ke 5,
yakni membangunkan ahli isi rumah untuk meningkatkan taraf hidup
masyarakat luar bandar, Kolej RISDA menggunakan strategi serampang
dua mata iaitu melatih ahli isi rumah dalam pelbagai bidang kursus
jangka pendek dan juga memberi pendidikan ke peringkat yang lebih
tinggi kepada generasi kedua pekebun kecil khususnya lepasan
sekolah, dalam pelbagai bidang kemahiran agar mereka dapat membantu
menyara keluarga mereka.
124. Bagi tahun 2005, Kolej RISDA akan memberi tumpuan kepada
penambahan program-program baru yang akan diikuti dengan penambahan
bilangan pelajar mengikut program yang ditawarkan. Kementerian
Pengajian Tinggi telah meluluskan dua lagi program baru bertaraf
Diploma iaitu Diploma Perakaunan Dan Keusahawanan yang akan
ditawarkan pada pengambilan pelajar bulan Jun 2005 dan Sijil
Kemahiran Malaysia Tahap 4. Selain dari itu, Kolej RISDA sedang
menguruskan untuk menambah program berbentuk Sijil iaitu Sijil
Business Communication (English), Sjil Kemahiran Malaysia Jahitan,
Jurusolek & Jurukecantikan, Akuakultur, Florikultur dan Rangkaian
Komputer.
125. Kolej RISDA hendaklah berusaha untuk dinaikkan taraf menjadi
Kolej Universiti yang menumpukan kepada Bidang Pertanian, khususnya
Industri Asas Tani dan Bioteknologi bersesuaian dengan tumpuan
negara di dalam Bidang Pertanian. Penubuhan Kolej Universiti ini
akan membolehkan Kolej RISDA menawarkan program pengajian di
peringkat Ijazah & Sarjana, dan membuka ruang kepada pelajar-pelajar
yang tamat pengajian Diploma melanjutkan pelajaran ke peringkat yang
lebih tinggi.
Syarikat RISDA Fleet Sdn. Bhd. (RFSB)
126. Bagi tahun 2005, RISDA FLEET hendaklah memberi fokus kepada
perniagaan teras meliputi aktiviti Pengangkutan MSM; Pengangkutan
Kargo; Pengangkutan Rigid; Bengkel Kenderaan; dan Shipping &
Forwarding di samping memberi fokus kepada pemantapan dan
pengemaskinian aset, aliran tunai, meningkatkan modal berbayar serta
imej syarikat serta usaha meningkatkan jaringan kerjasama (JV)
dengan syarikat yang sedia ada dalam industri ini, bagi menjadikan
ia lebih dinamik dan berprestij.
127. Dalam bidang Operasi dan Perniagaan, Syarikat akan
memastikan 100 peratus pasaran domestik (RISDA & Anak Syarikat )
dapat dilaksanakan dan mensasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus
dari pasaran luar sebagai perolehan pendapatan iaitu di dalam
aktiviti angkut minyak sawit mentah (MSM), angkut baja, angkut benih
sawit dan getah. Syarikat juga akan menaiktarafkan bengkel
baikpulih kenderaan yang sedia ada bagi keperluan kenderaan ringan
dan berat berenjin disel serta melebarkan skop kepada kenderaan
berenjin petrol dengan pendekatan bengkel berkonsepkan One Stop
Centre. Efisiensi Syarikat akan lebih terjamin dengan
penstrukturan semula Wilayah Barat (negeri Perak & Selangor) sebagai
sebuah lagi profit center. Selain daripada itu, sasaran memiliki
lori treler dan lori rigid baru sebagai back-up kepada kenderaan
yang telah uzur, dapat meningkatkan tahap utilisasi dan
mempelbagaikan keupayaan kenderaan pengangkutan komersial mengikut
keperluan semasa.
NARSCO Dan Koperasi Pekebun Kecil
128. NARSCO dan Koperasi Pekebun Kecil Daerah hendaklah terus
memantapkan aktiviti perniagaan dan memainkan peranan yang lebih
berkesan dalam membangunkan sektor pekebun kecil. Selaras dengan
Dasar Koperasi Negara yang mengiktiraf gerakan koperasi sebagai
penggerak dan pemangkin ekonomi negara, aktiviti tumpuan NARSCO dan
Koperasi Pekebun Kecil Daerah akan menjurus kepada keperluan dan
faedah secara langsung kepada pekebun kecil. Jaringan perniagaan
dan kerjasama yang telah dibentuk antara NARSCO dengan
Koperasi-Koperasi Pekebun Kecil Daerah sejak tahun 1980an hendaklah
diperkukuhkan. Anggota Koperasi Pekebun Kecil yang terdiri daripada
masyarakat pekebun kecil hendaklah dihubungkan dengan koperasi
melalui sistem kad keahlian yang terkini.
129. Pihak NARSCO perlu menumpukan tenaganya untuk mengukuhkan
aktiviti utama iaitu pembekalan barang-barang keperluan input
pertanian bagi meningkatkan hasil ladang-ladang milik pekebun
kecil. Lebihan keuntungan dari urusniaga akan disalurkan kembali
melalui pemulangan rebet dan diskaun supaya pekebun kecil memperoleh
perkhidmatan yang terbaik daripada NARSCO dan Koperasi Pekebun
Kecil.
L. PEMANTAPAN PERANAN INSPEKTORAT DAN AUDIT DALAM (BIAD)
130. Peranan BIAD adalah untuk membantu Pengurusan mengkaji
perjalanan organisasi dan pelaksanaan program pembangunan supaya
dilaksanakan secara efektif, penggunaan sumber-sumber secara
efisien serta mendatangkan hasil selaras dengan objektif yang
ditentukan. BIAD juga menilai tahap keupayaan sistem kawalan
dalaman bagi mencegah berlaku fenomena negatif yang akan menghalang
atau melambatkan kejayaan. BIAD akan terus menggunakan kaedah ‘risk
based’ dalam auditan 2005.
131. Auditan ke atas Anak Syarikat akan diperluaskan lagi bagi
memastikan kawalan dalaman Anak Syarikat lebih mantap. BIAD akan
membuat auditan bagi memastikan pelaksanaan program dan aktiviti
Pusat Tanggungjawab ke arah ‘zero defect’.
M. PROGRAM AGAMA, KEBAJIKAN, SOSIAL DAN SUKAN
132. Pengurusan RISDA meletakkan kebajikan staf sebagai fokus dan
faktor sokongan yang penting kepada pemantapan usaha-usaha ke arah
pembangunan pekebun kecil melalui aktiviti-aktiviti keagamaan yang
menuju ke arah pembangunan sahsiah yang baik; aktiviti riadah dan
juga sosial. Aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan oleh badan-badan
seperti Majlis Badan-Badan Islam RISDA Malaysia (MAJLIS) akan terus
dilaksanakan dalam usaha meningkatkan lagi pengetahuan dan kefahaman
Islam di kalangan staf RISDA, khususnya tumpuan kepada pembinaan
sahsiah individu, keluarga dan masyarakat berteraskan Al-Quran.
Selain daripada aktiviti keagamaan, Majlis Sukan & Kebudayaan RISDA
akan terus menjalankan aktiviti sukan dan kebudayaan dengan sokongan
RISDA, Anak-Anak Syarikat, NARSCO dan lain-lain.
133. Usaha untuk membantu staf dari segi kebajikan melalui Tabung
Kebajikan Kakitangan RISDA (TKKR) akan terus dilaksanakan kerana ia
merupakan komitmen RISDA untuk memastikan segala kemudahan/ faedah
kepada ahli disediakan. Skim Khairat Kematian RISDA (SKKR) akan
diteruskan kerana ia bertujuan untuk memberi sumbangan khairat
kematian kepada ahli serta keluarga yang terdekat sekiranya berlaku
kematian. Tempoh perlindungan yang diberi adalah untuk satu tahun
yang bermula 1 Mei dan berakhir 30 April setiap tahun berikutnya.
Jumlah minimum untuk pampasan kematian ahli adalah RM5,000 dan had
maksimum RM250,000.
134. Satu lagi program kebajikan staf ialah Skim Hospital Dan
Pembedahan Berkelompok (SHPB). Skim ini akan diteruskan memandangkan
ia memberi perlindungan secara berkelompok dan ahli memperoleh kadar
premium yang masih rendah (walau pun dengan kenaikan) yang tidak
mungkin diperoleh secara individu. Pengurusan RISDA telah
menaikkan kadar sumbangan RISDA dari RM6.00 kepada RM10.00 seorang
sebulan dan memberi peluang kepada ahli untuk memilih pelan mengikut
kemampuan. Dasar ini adalah semata-mata untuk membantu
meringankan bebanan kewangan semua lapisan staf yang ingin
mendapatkan perkhidmatan perubatan secara alternatif di hospital
pakar.
135. Martabat staf wanita dan isteri-isteri staf juga diberi
perhatian oleh Pengurusan RISDA melalui pengiktirafan
aktiviti-aktiviti di bawah Persatuan Suri Dan Anggota Wanita
Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) yang bertujuan merapatkan
perhubungan dan menyatupadukan isteri-isteri dan staf wanita dalam
semua perkhidmatan, di samping menggalakkan kemajuan diri dan
memperkembangkan pengetahuan dan kemahiran masing-masing.
ASPIRASI PENGURUSAN
136.
Dalam usaha merealisasikan tema Amanat Pengurusan tahun ini iaitu
‘Memperkasakan Masyarakat Pekebun Kecil’, saya berhasrat memaklumkan
beberapa aspek penting yang Pengurusan RISDA perlu beri penekanan
bagi memastikan organisasi RISDA terus unggul sebagai ‘Peneraju
Pembangunan Pekebun Kecil’. Antara penekanan dan tumpuan tersebut
adalah :-
Prinsip Integriti
137. Pelancaran Pelan Integriti Nasional (PIN) oleh Y.A.B Perdana
Menteri pada 23 April 2004 bertujuan menyerapkan nilai etika kerja
dan kehidupan supaya dapat diterjemahkan kepada semua peringkat dan
lapisan penjawat awam dan masyarakat. Bagi penjawat awam, termasuk
warga kerja RISDA, integriti adalah penting dalam melaksanakan tugas
dan tanggungjawab yang diamanahkan. Sebagai staf RISDA yang
dipertanggungjawabkan memaju dan memodenkan sektor pekebun kecil,
kita perlu menghayati prinsip integriti sebagai etika kerja.
Pengurusan RISDA akan memastikan dalam semua urusan pentadbiran dan
pelaksanaan projek pembangunan, unsur-unsur rasuah dapat dielakkan,
peningkatan dalam urus tadbir yang baik, akauntabiliti dan
ketelusan. Merealisasikan integriti dalam pentadbiran dan pengurusan
memerlukan kerjasama segenap lapisan staf RISDA untuk
mengamalkannya. Hanya dengan perlakuan sebegini akan melahirkan staf
serta organisasi RISDA yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.
Budaya Kerja Cemerlang
138. Selaras dengan pembentukan integriti yang diharapkan,
pengurusan RISDA amat mengharapkan supaya setiap lapisan staf
mengamalkan budaya kerja cemerlang. Melalui pernyataan tema, misi
dan objektif yang sentiasa dipaparkan dan dimaktubkan dalam urusan
pentadbiran dan pengurusan, adalah diharapkan kita akan dapat
menghayati semua pernyataan dan akujanji untuk menjadikan kita
sebagai pekerja yang unggul dengan sifat-sifat jujur, ikhlas,
akauntabiliti dan telus dalam setiap saat kita menjalankan tugas.
Bagi mengukur tahap pencapaian prestasi supaya menepati apa yang
dihasratkan, pengurusan RISDA akan menggunakan Indeks Pengukuran
Prestasi (Key Performance Index) yang akan dibangunkan disamping
mengekalkan Peperiksaan Tahap Kecekapan (PTK).
139. Selaras dengan budaya kerja cemerlang, Pengurusan RISDA
berharap semua lapisan staf mempunyai sikap proaktif dalam setiap
aspek pelaksanaan tugas dan tanggungjawab. Ini akan dapat melahirkan
staf yang sentiasa peka kepada kepentingan masa dan prestasi tugas
yang diberikan.
Learn, Unlearn and Relearn
140. Untuk memantapkan kedudukan selaku staf yang cemerlang dalam
organisasi yang unggul, aspek pendidikan, pembelajaran dan
pembelajaran semula perlu ada pada setiap staf RISDA. Proses
pembelajaran dan kemahiran teknikal merupakan elemen penting dalam
melaksanakan tugas dan tanggungjawab. Era kemajuan dunia hari ini
dan pada masa akan datang akan menitikberatkan kepada pendidikan dan
kemahiran. Dalam konteks ini kita tidak boleh melihat sesuatu
pencapaian atau kejayaan secara dalaman, kita perlu juga menilai
dari segi luaran dan juga tanggapan masyarakat luar terhadap
pencapaian sesuatu pelaksanaan program. Pengurusan RISDA akan
sentiasa menggalakkan reka cipta atau inovasi, baik dari aspek
pengurusan mahu pun pentadbiran sebagai salah satu langkah
melahirkan kreativiti staf RISDA. Setiap reka cipta atau inovasi
yang dicetuskan dan dihasilkan menepati kriteria dan keperluan
pengurusan akan dinilai dan diberi ganjaran.
Cerdik ICT
141. Bagi meningkatkan kecemerlangan kerja, pengurusan RISDA akan
memberi tumpuan kepada peningkatan sistem Teknologi Maklumat dan
Komunikasi (ICT) dalam semua bidang pengurusan dan pentadbiran
pejabat. Peningkatan dalam ICT adalah perlu bagi menyaingi
perkembangan dalam Teknologi Maklumat yang kini telah berkembang
menerajui Rangkaian Jalur Lebar (Broadband). Berasaskan kepada
perkembangan semasa, RISDA akan membina RISDA*Net bagi
merealisasikan Wide Area Network (WAN). Sejajar dengan peningkatan
ini semua staf adalah digalakkan supaya meningkatkan pengetahuan
dalam bidang ICT.
Anjakan Paradigme
142. RISDA telah mencapai usia melebihi 30 tahun, sewajarnya usia
sematang ini telah menjadikan organisasi yang matang dan berdaya
untuk mengubah paradigmenya selaras dengan perubahan zaman.
Perubahan dalam diri, cara bekerja, cara berfikir dan cara membuat
sesuatu tugas serta melaksanakan perancangan kerja perlu berubah
mengikut kesesuaian dan cabaran zaman. Tumpuan Kerajaan dalam RMK-9
adalah tertumpu kepada menjadikan sektor pertanian sebagai jentera
pertumbuhan ekonomi negara yang ketiga penting dalam pertumbuhan
ekonomi negara. Sejajar dengan hasrat ini, selaku peneraju kepada
pembangunan pekebun kecil dan luar bandar, semua staf RISDA perlu
meletakkan diri mereka sebagai seorang yang berkemahiran dalam
kerja-kerja pengembangan dan membimbing masyarakat pekebun kecil
menghadapi arus kemajuan dengan lebih berjaya dan berdaya saing.
Persekitaran Kerja Yang Kondusif
143. Bagi memastikan prestasi dan pencapaian matlamat RISDA
menepati sasarannya, persekitaran kerja yang baik dan kondusif
adalah perlu. Pengurusan RISDA akan menitikberatkan supaya semua
keadaan pejabat, persekitaran tempat kerja dan kemudahan bagi
mempercepatkan sistem penyampaian dapat disediakan kepada semua
lapisan staf. Persekitaran kerja yang kondusif akan melahirkan satu
keadaan ‘kekeluargaan’ atau satu pasukan yang kukuh dan menjadi
pemangkin kepada keselesaan suasana kerja dalam dan luar pejabat.
Urus
Tabdir Yang Baik
144. Urus tadbir yang baik dan berkesan merupakan proses membuat
keputusan dan matlamat akhirnya ialah sesuatu keputusan yang bijak
dan terbaik yang dapat diimplementasikan. Dalam menentukan arah tuju
urus tadbir yang baik lagi berkesan, pengurusan RISDA menetapkan di
mana keperluan Key Stakeholders iaitu pihak Kerajaan dan juga
kumpulan sasar dipenuhi. Mereka perlu dilibatkan secara sistematik
melalui penyertaan dalam kerangka kerja yang tertentu berteraskan
kepada ketelusan, tindak balas positif dan pemaparan keputusan
secara kolektif. Melalui proses ini semua pihak yang terlibat akan
memikul akauntabilti secara bersama. Ini akan dapat melicinkan
lagi urusan pentadbiran dan pengurusan secara harmoni, berkesan,
lancar dan memberikan kepuasan dalam pelaksanaan apa juga
perancangan.
PENUTUP
145. Keupayaan dan pencapaian masyarakat pekebun kecil bergantung
kepada keupayaan RISDA sendiri dalam menyusun program/projek yang
berfokus, ke arah bukan sahaja membangunkan industri tanaman getah,
tetapi juga berupaya membangunkan masyarakat pekebun kecil sendiri.
146. Matlamat asal RISDA tidak pernah berubah, malah sentiasa
dikukuhkan oleh RISDA sendiri dalam pernyataan perancangannya.
Matlamat asal RISDA berkait dengan mengurangkan kemiskinan dan
membangun sektor pekebun kecil menjadi sektor moden. Walau apa jua
yang kita senaraikan program/projek yang akan dilaksanakan,
akauntabiliti akhirnya adalah setakat mana keadaan sosio ekonomi
pekebun kecil dapat diubah oleh program/projek yang dirancang dan
dilaksanakan.
147. Pendekatan yang wajar bukanlah untuk melihat kepada angka
peruntukan yang telah diluluskan setiap tahun di bawah Rancangan
Malaysia tertentu dan selepas itu membandingkannya dengan
perbelanjaan sebenar. Prestasi RISDA bukanlah juga peratusan yang
telah dibelanjakan dan RISDA dikatakan efisien atau berupaya hanya
kerana dapat membelanjakan amaun yang telah diperuntukkan. Tetapi
apa yang sebenarnya lebih sukar dan lebih mencabar adalah matlamat
yang telah diberi kepada RISDA; membina pengukur (yardstick); dan
selepas itu, membuat penilaian berasaskan kepada pengukuran
tersebut. Umpamanya, sekira matlamatnya adalah pembasmian
kemiskinan, ukurannya adalah bilangan pekebun kecil yang tidak lagi
miskin selepas dibelanjakan satu amaun setiap tahun. Ukuran
keberkesanan pelbagai program/projek pula adalah kos setiap program
berbanding dengan peningkatan kesejahteraan pekebun kecil.
Sekiranya setiap pekebun kecil menerima lebih dari satu program,
bolehlah pula diukur kesan setiap program itu atau sinergi di antara
pelbagai program.
148. Dalam hal ini, saya mengambil pendekatan dan saranan Y.A.B.
Perdana Menteri supaya semua pihak “Bekerja bersama saya, bukan
bekerja untuk saya” dan ke arah ini kita hendaklah bekerja sebagai
satu pasukan yang mantap dan berusaha sebaik mungkin melaksanakan
tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan. Sama-sama kita
pertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan yang terbaik di
samping jelas siapa pelanggan kita. Sudah tentulah pelanggan utama
RISDA ialah masyarakat pekebun kecil dan penduduk luar bandar.
Dalam setiap aktiviti pembangunan yang dijalankan, RISDA hendaklah
berusaha meningkatkan penglibatan pekebun kecil dan segala aktiviti
kita hendaklah memberi manfaat dan pulangan kepada mereka.
149. Sebagai sebuah agensi pembangunan, RISDA tentu sekali belum
mencapai kesemua matlamatnya. Selagi ada pekebun kecil, selagi
itulah RISDA masih diperlukan. Perkara yang dipertanggungjawabkan
kepada RISDA menurut Akta 85 adalah perkara yang memerlukan
penyelesaian. Bahawa jika tidak tercapainya semua matlamat asalnya
bukanlah satu tanda kegagalan. Perlu difahami bahawa situasi kebun
kecil adalah dinamik, dan selagi mana ada getah tua yang perlu
ditanam semula dan selagi mana ada pekebun kecil yang perlu
dibangunkan, selagi itulah tujuan asal RISDA ditubuhkan masih
menjadi relevan.
150. Akhir sekali, saya berharap RISDA dengan bekalan perancangan
yang rapi ini dan pelaksanaan yang terkawal dan teratur di peringkat
lapangan, adalah diharapkan pekebun kecil yang menyertai
program-program RISDA akan dapat mencapai Misi dan Objektif dengan
memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM1,200.00 sebulan
sekeluarga sesuai dengan tema “MEMPERKASAKAN MASYARAKAT PEKEBUN
KECIL”.
151.
Saya akhiri Amanat Pengurusan RISDA 2005 ini dengan membacakan
sebuah sajak nukilan Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi
untuk kita amati bersama pengertiannya :
KU
CARI DAMAI ABADI
Aku
cari bukan harta bertimbun-timbun
Untuk hidup kaya
Aku cari bukan wang berjuta-juta
Untuk hidup bergaya
Aku cari bukan kawan-kawan
Untuk hidup sekadar berfoya-foya
Aku cari mana dia Al-Ghazali
Aku cari mana dia Al-Shafie
Kita bongkar rahsia kitab suci
Cari pedoman
Kita bongkar rahsia sunnah Nabi
Cari panduan
Aku hidup kerana dia Rabbi
Dialah teman
Dialah Wali
Dia mencukupi
Aku hidup bererti
Menikmati damai abadi.
Selamat bertugas, terima kasih.
Ibu Pejabat RISDA,
Kuala Lumpur.
5 JANUARI 2005 |